KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) membidas kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang mendakwa isu tunggakan gaji pasukan tersebut sudah selesai sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail dalam kenyataan menafikan PFA telah pun melangsaikan tunggakan gaji pemainnya sebaliknya pasukan itu masih mempunyai hutang tertunggak yang belum diselesaikan sehingga kini.

Malah, beliau kesal dengan tindakan skuad Singa Utara itu yang lebih ghairah menandatangani beberapa pemain bintang tempatan bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia berbanding melangsaikan tunggakan gaji pemain lama mereka.

“PFA masih tidak memberikan apa-apa status terkini berhubung tunggakan gaji tahun 2016 dan 2017.

“Selain itu, tunggakan gaji tahun 2018 akan dibayar secara beransur-ansur, dan selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap telah selesai.

“PFAM menggesa agar PFA benar-benar serius dalam isu hutang ini disebalik keghairahan menandatangani nama-nama besar bagi saingan musim hadapan. Tidak mustahil, jika PFA terus menerus mengabaikan tanggungjawab ini, pemain-pemain baharu akan menjadi mangsa seterusnya,” katanya di laman rasmi Facebook PFAM.

Izham juga turut menuntut pasukan lain yang masih mempunyai hutang yang tinggi segera melangsaikannya sebelum musim baharu Liga Malaysia membuka tirainya.

“PFAM ingin mengingatkan kepada pasukan-pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji, untuk mengambil serius soal pembayaran hutang kepada para pemain.

“PFAM melihat pasukan-pasukan yang berhutang masih lagi tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain-pemain baru termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan.

“Perkara ini merupakan suatu perkara yang amat memalukan dan sangat dikesali, terutamanya bila mengenangkan para pemain yang semakin terhimpit dengan hutang dan keterdesakan hidup akibat hilang punca pendapatan,” tegasnya.

Izham menegaskan, PFAM juga menggesa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib, yang difahamkan telah bermesyuarat pada 6 Disember lalu.

“Kelewatan keputusan ini, akan memberi kesan besar kepada para pemain, apabila pasukan terus ‘terlepas’ dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baharu bermula.

“Kredibiliti FAM selaku badan yang menaungi urusan bola sepak di Malaysia amat ditagih dalam situasi ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast