ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dibuka lemah, selari prestasi Wall Street, susulan sentimen pasaran yang rendah disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kedudukan ekonomi dunia.

Pada 9.15 pagi, indesk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 11.49 mata kepada 1,630.13 berbanding 1,641.62 pada penutupan Isnin.

Indeks dibuka 13.15 mata lebih rendah pada 1,628.47.

Dalam notanya, PublicInvest Research berkata kebimbangan yang semakin meningkat ke atas unjuran pertumbuhan dunia, menarik turun saham US dengan ketara buat hari kedua berturut-turut, dengan pelabur menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan selama dua hari, bermula Isnin.

Firma penyelidikan itu juga berkata data China yang suram selain kedudukan di zon euro, memperlihatkan pertumbuhan dunia yang suram, dan pada masa yang sama kedudukan pulangan Perbendaharaan US dilihat oleh sesetengan pihak sebagai amaran bahawa kemelesetan semakin hampir.

“Di Wall Street, S&P 500 susut 2.1 peratus kepada 2,545, paras terendah yang dicatat sejak Oktober 9, 2017, manakala Dow Jones Industrial Average turut merosot 2.1 peratus dan Nasdaq Composite turun 2.2 peratus,” katanya.

Berdasarkan kedudukan di Bursa Malaysia secara menyeluruh, 327 kaunter mencatatkan kerugian, 57 kaunter untung manakala 123 kaunter tidak berubah, 1,398 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 232.50 juta unit bernilai RM107.15 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.30, Public Bank menambah 16 sen kepada RM24.38, Tenaga turun 24 sen kepada RM12.68 dan Petronas Chemicals susut empat sen kepada RM9.14.

Antara saham aktif, VS Industry turun 13 sen kepada 69 sen, manakala Hubline dan Sumatec masing-masing tidak berubah pada empat sen dan 1.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 94.07 mata kepada 11,163.97, Indeks FBMT 100 turun 89.21 mata kepada 11,073.25, Indeks FBM Emas Shariah merosot 136.93 mata kepada 11,050.99, Indeks FBM Ace turun 73.33 mata kepada 4,189.54 manakala FBM 70 turun 146.97 mata kepada 12,801.00.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.30 mata kepada 164.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 37.84 mata kepada 17,081.95 dan Indeks Perladangan merosot 96.79 mata kepada 6,462.31. – MalaysiaGazette