KUALA LUMPUR – Tahun 2018 boleh dianggap sebagai era kebangkitan industri filem Tamil tempatan dengan terhasil karya-karya hebat yang membuat kutipan pecah panggung.

Terbaharu, Thirudathey Papa Thirudathey arahan pengarah muda berbakat, Shalini Balasundram mencatat sejarah sebagai filem Tamil tempatan kedua yang mencatat kutipan tertinggi tahun ini.

Filem berkisar permasalahan sosial komuniti India di Malaysia itu ternyata begitu dekat dengan hati peminat, menyebabkan mereka tidak putus-putus membanjiri kesemua 42 pawagam yang terbabit dalam tayangan.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Shalini berkata kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk beliau terus menghasilkan karya bermutu walau sebesar mana sekalipun cabaran yang terpaksa ditempuhi olehnya.

“Saya tidak sangka kedua tertinggi tetapi rasa teruja, terharu dan syukur yang tidak terhingga sebenarnya.

“Kejayaan ini saya anggap satu bukti bahawa karya yang saya hasilkan masih relevan dengan citarasa masyarakat tidak kira apapun latarbelakang apatah lagi sebelum menghasilkan sesuatu, saya akan melakukan kaji selidik pelbagai aspek terlebih dulu.

“Pembikinan filem atau karya seni ini bukan sesuatu yang hanya boleh dianggap sebagai ‘suka-suka’ untuk tujuan hiburan sebaliknya ianya lebih daripada itu.

“Saya mahu buktikan bahawa pengarah tempatan tidak kurang hebatnya. Apa yang kami perlukan hanyalah sokongan untuk membantu kami menempuh cabaran industri perfileman,” katanya baru-baru ini.

 

shalini balasundaram (6)Pelakon wanita berhati waja itu juga mendedahkan, kejayaan Thirudathey Papa Thirudathey sebenarnya adalah hasil usaha dan kekuatan pasukannya yang turut sama berkongsi semangat dalam menghasilkan sesuatu yang berkualiti.

“Saya gembira peminat menerima konsep karya lebih berat dan isinya perlu penghayatan selain daripada sekadar hiburan semata-mata.

“Buktinya, saya masih menerima sokongan tidak berbelah bahagi, buktinya kutipan filem ini tidak langsung mengecewakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah muda juga berkongsi kesedihan dirinya yang dilihat tak ubah sebagai mangsa buli pihak tertentu, hanya kerana dirinya masih dalam proses mencipta nama.

“Kita sering melihat kes mangsa buli dipaparkan di media tapi sebenarnya saya juga antara mangsa. Malah ada juga rakan seperjuangan saya mengalami nasib ini.

“Bayangkan saya tidak cukup tangan, saya menulis skrip filem, saya buat kaji selidik pasaran, saya juga berlakon, mengarah dan menerbit. Itu mungkin senang untuk diungkapkan tetapi realitinya cukup sukar.

“Tidak cukup dengan itu, saya terpaksa pula menjadi pengedar bagi memastikan tayangan filem di pawagam. Saya bukan duduk sahaja sebaliknya buat yang terdaya malah lebih dari itu kerana dalamnya ‘cinta’ saya untuk industri ini. Seboleh-bolehnya, saya mahu lakukan lebih daripada ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengarah serba boleh baharu sahaja habis mengarah dan berlakon dalam telemovie terbaru keluaran Astro.

Dikenali sebagai “Rail Payanangal”, filem itu akan ke udara pada 1 Januari depan.

Selain itu, Shalini turut terbabit dalam fasa akhir projek filem terbaru yang dijangka menemui peminat Jun tahun depan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast