Dzulkarnain (kanan) dilantik sebagai Ketua Pengarah JHEV yang ketujuh bagi menggantikan Mohamad Khir yang telah tamat perkhidmatan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) komited meneruskan kecemerlangan dalam membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pengarah JHEV yang baharu, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, bagi usaha itu, semua kakitangan jabatan perlu bersama memperkasakan organisasi menjadi lebih efisien dan memberikan kualiti perkhidmatan terbaik untuk veteran.

Beliau berkata, kelancaran mengurus keperluan dan kebajikan veteran ATM serta hasil produktiviti JHEV pastinya dipandang tinggi masyarakat malah dihormati warga ATM keseluruhannya.

“Tanggungjawab serta amanah untuk memimpin jabatan ini pasti mencabar bukan sahaja perlu menentukan aspek kebajikan veteran ATM kekal terbela, malah perlu memartabatkan JHEV ke tahap yang lebih membanggakan.

“Sebagai benteng pertahanan negara, jasa bakti pejuang terdahulu sangat besar dalam memelihara keamanan dan kedaulatan negara. Dengan paksi sama, saya dan pasukan juga komited mengembleng usaha, kudrat dan idea demi pastikan kecemerlangan dilakar kepemimpinan terdahulu akan dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan perutusan Perintah Ulung KP JHEV baru-baru ini.

Dzulkarnain sebagai Ketua Pengarah JHEV yang ketujuh telah pun dilantik secara rasmi berkuatkuasa Oktober lalu bagi menggantikan Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah yang telah tamat perkhidmatan.

Dzulkarnain berkata, aspirasi serta visi Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa prihatin soal kebajikan veteran malah terdapat perhatian sewajarnya bagi memenuhi keperluan mereka.

“Untuk memastikan manisfestasi ini tercapai, empat teras menjadi fokus utama iaitu pendekatan media, pendekatan fizikal, kerjasama antara agensi dan pemerkasaan JHEV supaya segala pendekatan dilaksana terarah kepada usaha merealisasi visi dan misi yang telah digariskan,” ujarnya.

Dzulkarnain, 55, adalah anak watan Kepala Batas, Pulau Pinang menyertai ATM tahun 1981 melalui pengambilan Maktab Tentera Diraja (MTD) dan mengikuti pengajian kadet di Sandhurst, United Kingdom.

Beliau telah pun berkhidmat lebih 36 tahun dalam cabang perkhidmatan Darat, adalah tokoh yang berkaliber dan dilihat sebagai individu tepat dan paling layak menerajui JHEV ATM ke arah mencapai aspirasi membela hak serta kebajikan anggota veteran ATM.-MalaysiaGazette