Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diusung oleh anggota Bomba dan ahli keluarga untuk proses pengkebumian di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 18 DISEMBER 2018.

ALLAHYARHAM Muhammad Adib Mohd Kassim telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah menjelang waktu Zohor petang semalam.

Namun perasaan marah orang Melayu dengan kematian anggota bomba berusia 24 tahun ini masih membara. Ini boleh dilihat melalui reaksi di media sosial dan perbualan di kedai-kedai kopi.

Dan jika ada pihak berpendapat ‘kemarahan’ orang Melayu hanya tertumpu pada satu-satu kaum saja, ternyata ia salah!

Sebenarnya kemarahan orang Melayu dalam isu rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights pada 26 November lalu bermula bila kira-kira 50 lelaki Melayu sendiri yang bertindak menceroboh kuil berkenaan pada pagi tersebut.

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan siasatan polis mendapati syarikat pemaju yang memiliki tanah tapak itu, telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh kuil itu bagi tujuan mengawalnya sebelum ketibaan pihak pemaju dan polis.

Beliau juga mendedahkan bahawa siasatan polis mendapati sebanyak RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan tersebut untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan.

Seperti mana kaum lain di Malaysia, orang Melayu juga tidak dapat menerima bila ada anak bangsa mereka yang bertindak menceroboh rumah ibadat kaum lain, apatah lagi bila mendapat tahu ia hanya disebabkan untuk mendapat upah semata-mata!

Seperti mana kaum lain, orang Melayu tidak pernah percaya keganasan adalah solusi terbaik untuk mencari penyelesaian sesuatu konflik.

Sebab itu selain peristiwa 13 Mei 1969, belum terjadi satu insiden seumpamanya yang berlaku di negara kita.

Namun kemuncak isu Kuil Sri Maha Mariamman ini apabila Muhammad Adib telah dibelasah dengan begitu teruk di lokasi berkenaan.

Di sini kemarahan orang Melayu kembali membara. Ia diburukkan dengan sikap Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman selepas itu.

Ini kerana di saat semua pihak sepatutnya menyerahkan pada kebijaksanaan pihak polis untuk menjalankan siasatan itu, mereka telah membuat satu sidang akhbar dengan mendakwa kecederaan yang dialami Muhammad Adib dalam insiden kekecohan itu adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya!

MGF27112018_KESKUILSRIMAHAMARIAMMAN_33
Ahli Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, VK Regu bercakap pada sidang media berkaitan insiden yang terjadi di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 NOVEMBER 2018.

Setiausahanya, VK Regu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila jentera milik JBPM cuba untuk mengundurkan kenderaannya sebelum melanggar mangsa terlibat.

Ujarnya, apabila JBPM cuba untuk ke depan, terdapat kenderaan yang terbakar dan mereka terus mengundurkan jentera kerana bimbang berlaku letupan.

Tegasnya, tanpa disedari terdapat anggota di belakang kenderaan itu dan jentera itu telah melanggar mangsa berkenaan.

Sama ada betul atau tidak dakwaan itu, sepatutnya badan bertindak kuil itu tidak perlu masuk campur dalam siasatan tersebut kerana mereka bukanlah pihak yang layak untuk memperkatakannya.

Jika mereka ikhlas untuk membantu pihak berkuasa bagi mencari keadilan buat Muhammad Adib, mereka seharusnya menyerahkan segala bukti atau maklumat yang mereka peroleh kepada PDRM dan bukan membuat ‘andaian’ berdasarkan apa yang mereka ‘dengar, lihat dan percaya’.

Akhirnya kemarahan orang Melayu dengan badan bertindak kuil tersebut ternyata berasas apabila Ketua Polis Negara sendiri, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sendiri menyangkal dakwaan yang dibuat Regu dan juak-juaknya

Dalam sidang akhbarnya, Fuzi berkata, perkara itu juga sudah dijelaskan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid.

“Maklumat itu tidak benar, kita dah kenal pasti pihak yang buat dakwaan. Mangsa memang dipukul, bukan dilanggar dan kita masih buru mereka yang bertanggungjawab atas kejadian itu,” katanya.

Akhir sekali, perasaan marah orang Melayu terkait sekali dengan tindak tanduk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dalam insiden itu.

Kenyataan bertulis empat orang Menteri diketuai Waytha Moorthy yang mendakwa polis gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama, telah membangkitkan kemarahan ramai hingga mencederakan dan seterusnya menyebabkan kematian anggota bomba yang tidak berdosa itu.

MGF27112018_KESKUILSRIMAHAMARIAMMAN_51
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy ketika hadir bagi meninjau situasi mengenai insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 NOVEMBER 2018.

Terbaru, tindakannya yang menjadikan foto Muhammad Adib sebagai gambar profile di Facebook bagaikan telah ‘menyimbah minyak pada api yang sedang membakar’.

Untuk rekod, Waytha Moorthy juga sebelum ini telah memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara seperti mana yang tersiar dalam sebuah klip video yang tular di media sosial.

Video berdurasi 2 minit 39 saat itu menunjukkan Waytha Moorthy membuat kenyataan menerusi wawancara dengan sebuah rancangan televisyen luar negara dengan menuduh Malaysia yang dikuasai Melayu Islam menindas penganut Hindu dan masyarakat India.

Waytha Moorthy mendakwa, rakyat Malaysia yang beragama Hindu kononnya telah didiskriminasi kerana perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor-sektor awam serta rumah-rumah ibadat mereka telah dirobohkan sesuka hati oleh pihak-pihak berkuasa di Malaysia.

Dengan segala faktor di atas, sudah tentu ia mengguris perasaan dan menyebabkan orang Melayu menjadi marah.

Bezanya, sehingga kini orang Melayu masih rasional kerana seperti yang kita tahu, tindak tanduk VK Regu, Waytha Moorthy dan perusuh-perusuh ini bukanlah mewakili masyarakat India secara keseluruhannya.

Seperti mana kaum Melayu, India, Cina dan lain-lain rakyat di negara ini, majoriti daripada kita tetap cintakan keamanan dan menolak sebarang bentuk provokasi serta keganasan.

Ya, orang Melayu memang marah apatah lagi bila anak bangsa mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa kebinatangan individu yang tidak bertanggungjawab.

Namun secara prinsipnya kemarahan ini ‘masih terkawal’ tetapi jika perkara sebegini berlaku lagi di masa akan datang, tak siapa dapat menjangka apa yang bakal berlaku.

Pada Allah kita berserah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast