Saifuddin Nasution
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media pada Majlis Penyampaian Sijil FTM dan Penyerahan Kenderaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Datuk Saifuddin Nasution mengesahkan wujud komunikasi antara beberapa ahli dan pemimpin UMNO dengan PKR yang sejak akhir akhir ini mengenai lompat parti khususnya ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada kadar luar biasa.

Bagaimanapun Setiausaha Agung itu menegaskan, setakat ini tidak ada sebarang permohonan menyertai PKR daripada ahli UMNO.

“Setakat ini tidak ada ahli UMNO atau wakil rakyat mereka yang memohon menyertai PKR.

“Saya boleh akui bahawa memang wujud komunikasi antara mereka dan kami.

“Tetapi berkaitan sama ada ya atau tidak wujud permohonan rasmi menyertai PKR, saya boleh katakan di sini belum ada setakat ini,” katanya kepada media di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Rafizi Ramli yang mahu PKR tidak menerima penyertaan ahli atau pemimpin UMNO yang kini melompat parti secara agresif.

Saifuddin bagaimanapun menyifatkan apa yang disuarakan oleh Rafizi sebagai kelebihan dan keunikan yang ada dalam Pakatan Harapan dalam menyatakan pendapat.

“Itu kelebihan dan unik PH, kepimpinan semua peringkat boleh berbeza pendapat cuma kita tak laksanakan pandangan kita.

“Sekalipun saya baik dengan Rafizi, tidak semestinya semua saya bersetuju dengan pandangan beliau dalam konteks ini,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, beliau melihat isu itu dari sudut pandangan peribadi.

Mengulas lanjut penyertaan ahli UMNO dalam PH, beliau berkata, penolakan UMNO dan BN oleh rakyat adalah akibat daripada kemarahan.

“Umpama kemarahan rakyat berpindah kepada PH hanya kerana kita dengan selamba sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa tapisan itu maka kita tanggung beban namanya.

“Sebab itu Majlis Presiden PH menetapkan tiga tapisan penting iaitu pertama mereka perlu tinggalkan parti asal, kedua menunggu untuk satu tempoh yang tidak tetap dan mana mana permohonan untuk menyertai mana mana parti dalam PH, parti masing masing perlu terlebih dahulu meneliti dan membuat tapisan sewajarnya,”katanya. – MalaysiaGazette