Dr. Asri Zainul Abidin.
Dr. Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR- Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainal Abidin mencadangkan supaya semua rakyat Malaysia diwajibkan melalui sistem persekolahan yang sama sekurang-kurangnya daripada tahun 1 sehingga tahun 6 sekolah rendah.

Jelasnya,  isi kandungan pelajaran dan pendekatan di Sekolah Kebangsaan hendaklah benar-benar bersifat Malaysia dengan mewujudkan persekitaran yang membolehkan semua agama dan kaum dapat belajar bersama-sama dengan selesa.

Elemen keagamaan yang menimbulkan persekitaran tidak kondusif untuk pembelajaran untuk pelbagai hendaklah dielakkan.

Pelajaran agama sama ada Islam atau agama-agama lain serta pendidikan kebudayaan boleh dilakukan di luar sesi persekolahan rasmi iaitu pada waktu petang, katanya.

Jelas beliau, perkara tersebut telah lama diamalkan oleh Jabatan Agama Islam Johor, Selangor dan Perlis yang mewujudkan sekolah agama di luar sesi Sekolah Kebangsaan dan kosnya dibiayai oleh komuniti.

“Sekolah-sekolah Agama Islam atau jenis Kebangsaan Cina atau India untuk peringkat rendah yang wujud hari ini, jika mereka masih mahu berfungsi, boleh mengadakan sesi petang iaitu setelah anak-anak ini menjadi menjalani pendidikan di Sekolah kebangsaan di sesi pagi.

“Kos tersebut akan ditanggung oleh komuniti masing-masing,” katanya dalam Surat Terbuka kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan di sini.

Tambah Mohd. Asri, murid-murid tersebut boleh memilih aliran sekolah yang mereka minati selepas tamat persekolah Sekolah Rendah Kebangsaan.

Namun begitu, bagi memastikan kesinambungan pendidikan meraikan pelbagai kaum di Malaysia itu tidak terputus, beliau mencadangkan supaya satu mata pelajaran yang membolehkan semua pelajar memahami negara ini diwajibkan.

Kementerian Pejaran juga mungkin boleh memperkukuhkan mata pelajaran yang sedia seperti sejarah dengan pendekatan yang mantap dan relevan, katanya.

“Setelah murid-murid ini tamat Sekolah Rendah Kebangsaan, mereka boleh memilih aliran sekolah yang mereka ingini. Hasrat mereka untuk ke bidang agama atau selainnya dapat diteruskan selepas itu.

Namun, ketika itu mereka sudah dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman yang bersifat Malaysia,” ujarnya lagi.

Menurut Mohd. Asri, beliau terpanggil untuk menulis surat terbuka itu apabila melihat krisis di antara kaum di negara ini semakin parah walaupun sudah berlakunya perubahan kerajaan.

Katanya, selepas slogan 1Malaysia yang dibawakan oleh kerajaan Barisan Nasional gagal, kempen kerajaan Pakatan Harapan ke arah Malaysia Baharu yang penuh tolenrasi dan harmoni juga tidak menjadi sehingga menimbulkan banyak isu-isu baharu yang lebih membimbangkan.

Ini katanya adalah akibat daripada pengalaman hubungan antara kaum yang tipis dan latar pendidikan yang berbeza.-MalaysiaGazette