Pemain Malaysia, Muhammad Akhyar Abdul Rashid diasak keras pemain Vietnam semasa perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam yang berkesudahan 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bintang Harimau Malaya, Muhammad Akhyar Rashid diarah melapor diri bersama skuad Kedah pada 1 Januari ini biarpun dikaitkan dengan perpindahan musim depan.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, arahan itu wajib dipatuhi Akhyar kerana pemain berusia 19 tahun itu masih milik Lang Merah.

Ini kerana kontrak penyerang kebangsaan itu hanya akan berakhir pada 30 November tahun depan.

“KFA telah menghantar notis rayuan dan dibawa dalam senarai agenda Mesyuarat JK Rayuan FAM hari ini.

“Selain itu pihak pengurusan juga telah mengeluarkan notis kepada Muhammad Akhyar Rashid untuk melapor diri ke kem Hijau Kuning bermula 1 Januari 2019 setelah memberi pelepasan sejurus tamat Piala AFF Suzuki 2018 pada 15 Disember lalu.

“Kontrak Akhyar bersama pasukan Kedah sehingga 30 November 2019,” kata KFA dalam Facebook rasmi mereka hari ini.

KFA akan bertemu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) esok bagi membincangkan tentang jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Status FAM bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar dalam usaha menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan sejak sebulan lalu.

KFA sebelum ini tidak berpuashati dengan tindakan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang didakwa mahu memancing Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018 itu menerusi ‘pintu belakang’.

Namun kontroversi terus berpanjangan apabila Akhyar dikaitkan pula dengan pasukan jiran, Perlis yang melamarnya di rumah pemain itu baru-baru ini. – MalaysiaGazette