sawit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mengkaji semula struktur cukai eksport kepada minyak kelapa sawit bagi merangsang permintaan dan mengurangkan stok simpanan.

Menurut Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok, semakan semula itu adalah untuk memastikan Malaysia selaku pengeluar kedua terbesar kelapa sawit dunia mampu bersaing dengan negara-negara lain.

“Ketika ini kami sedang menyemak semula struktur duti eksport bagi memastikan dapat bersaing dalam pasaran,” katanya kepada Reuters melalui emel.

Tambah Teresa, kerajaan juga menggalakkan syarikat-syarikat untuk menggunakan minyak kelapa sawit tempatan bagi mengurangkan simpanan dan seterusnya bersaing dengan import komoditi berkenaan dari Indonesia.

“Dengan mengurangkan import, kita dapat melihat pengurangan besar dalam stok kelapa sawit di Malaysia dan ini pastinya akan meningkatkan harga,” ujarnya.

Harga kelapa sawit untuk tahun depan dijangka disokong oleh permintaan daripada pasaran tradisional apabila mereka mengisi semula stok.

Tambah Teresa, pelaksanaan mandat biodiesel pada 2019 juga dijangka mampu membantu menaikkan harga kelapa sawit.

Malaysia akan menaikkan kadar minimum kandungan bio di dalam biodiesel kepada 10 peratus untuk sektor pengangkutan dan tujuh peratus kepada sektor industri.

Beliau menjangkakan pengeluaran kelapa sawit akan berada dalam lingkungan 20 juta tan pada 2019.

Bulan lepas kerajaan meramalkan output sebanyak 20.5 juta tan untuk 2019 dan 19.8 juta tan pada tahun ini.

Pengeluar-pengeluar minyak sawit Asia Tenggara menghadapi kelembapan eksport akibat kelemahan permintaan ekoran kejatuhan matawang dan cukai import yang tinggi.

Kemerosotan permintaan menyebabkan inventori Malaysia mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 18 tahun manakala stok simpanan Indonesia, pengeluar kelapa sawit terbesar dunia juga meningkat.

Harga minyak sawit jatuh ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun awal bulan ini disebabkan penyusutan permintaan.

Ia jatuh 0.9 peratus pada RM2,108 se tan pada dagangan awal pagi Rabu.

Walaupun Malaysia telah pun mengurangkan cukai eksport  minyak sawit mentah kepada kosong sejak September lalu, peserta industri merasakan kelapa sawit Indonesia lebih kompetitif apabila negara tersebut memberikan lebih banyak diskaun ke atas harga komoditi mereka

Kos pengeluaran di Indonesia adalah lebih rendah berbanding Malaysia.-Reuters