Khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – “Hidup #EPLpercuma” tulis Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam twitternya semalam.

Ciapannya itu turut dilampirkannya laporan berita mengenai Astro Malaysia Holdings Berhad dilaporkan berjaya memperoleh hak penyiaran Liga Perdana Inggeris di Malaysia untuk tiga musim seterusnya dari 2019/20 sehingga 2021/22.

Twit KJIa sekaligus satu sindiran kepada Pakatan Harapan yang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk memberikan hak siaran perlawanan bola sepak antarabangsa termasuk Liga Perdana Inggeris kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Namun laporan itu hanya mengatakan bahawa hanya Astro sahaja yang menerima hak penyiaran.

Umum mengetahui bahawa Astro bukanlah stesen televisyen percuma sebaliknya ia dilanggan setiap bulan mengikut pakej siaran televisyen yang dikehendaki pelanggannya.

Manifesto yang disuarakan Pemuda Pakatan Harapan sebelum ini berpendirian janji itu bertujuan untuk menamatkan monopoli Astro terhadap hak siaran Liga Perdana Inggeris itu.

Khairy yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan dan juga Ketua Pemuda UMNO pernah membidas dan menyifatkan janji itu sebagai populis hanya demi meraih undi golongan muda sahaja.

Khairy sebelum ini turut berkata bahawa memberikan hak siaran kepada RTM akan melibatkan perbelanjaan yang besar. -MalaysiaGazette