KWSP

KUALA LUMPUR – Jumlah pengeluaran yang diluluskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kesemua jenis pengeluaran meningkat 6.93 peratus kepada 616,835 pada suku ketiga tahun ini berbanding 576,836 dalam tempoh sama tahun lalu.

Namun, jumlah pengeluaran menurun sedikit kepada RM11.52 juta daripada RM11.68  juta dalam suku tahun yang sama tahun lepas.

Jumlah pengeluaran diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dalam suku ketiga 2018 jatuh 53.60 peratus kepada 16,726 (RM907.35 juta) daripada 36,045 (RM2 bilion) dalam suku tahun yang sama pada 2017.

Pengeluaran diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 60 Tahun mencatatkan peningkatan 15 peratus kepada 14,733 (RM217.77 juta) dalam suku ketiga 2018 daripada 12,811 (RM280.66 juta) dalam tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegwai Eksekutif KWSP (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, dalam tempoh sama KWSP juga mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah pengeluaran fleksibel berbanding pengeluaran penuh.

Dalam suku tahun yang dikaji, KWSP mencatatkan 57.76 peratus kenaikan dalam jumlah permohonan diluluskan untuk pengeluaran fleksibel umur 55 tahun kepada 70,955 daripada 44,976 dalam suku tahun yang sama pada 2017.

Jumlah amaun dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun adalah RM2.72 bilion dalam suku ketiga 2018, berbanding RM1.80 bilion dalam suku ketiga 2017.

Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 60 Tahun meningkat 45.70 peratus kepada
43,289 (RM791.95 juta) dalam suku ketiga 2018 daripada 29,712 (RM662.05 juta) dalam suku ketiga tahun lalu.

Sehingga akhir September 2018, jumlah ahli KWSP adalah 14,091,141, di mana 7,196,502 adalah pencarum aktif, dengan 138,376 merangkumi jumlah pendaftaran ahli baru.

Dalam suku ketiga tahun ini menyaksikan peningkatan 10.74 peratus dalam jumlah majikan baru kepada 17,791 daripada 16,065 dalam suku ketiga 2017, seterusnya menjadikan jumlah majikan keseluruhan sehingga akhir September 2018 kepada 504,090.

Selaras dengan peningkatan dalam pendaftaran ahli dan majikan baru, KWSP juga merekodkan peningkatan 11.56 peratus dalam caruman diterima dalam suku tahun ketiga kepada RM16.91 bilion daripada RM15.16 bilion dicatatkan dalam suku tahun yang sama tahun lepas, menjadikan jumlah terkumpul caruman kepada RM785.59 bilion, peningkatan
9.72 peratus daripada RM715.97 bilion dalam suku ketiga 2017.

KWSP juga mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah kunjungan, termasuk oleh pengunjung berulang, ke 28 kaunter Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) di seluruh negara.

Untuk suku ketiga 2018, jumlah ahli berkunjung ke kaunter RAS meningkat 39.97 peratus kepada 18,660 daripada 13,331 dalam suku tahun yang sama tahun lepas.

Tambahnya, penggunaan kemudahan dalam talian i-Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan 83.45 peratus kepada 11.09 juta dalam suku tahun ketiga 2018 (S3 2018) berbanding 6.04 juta
dalam suku tahun yang sama tahun lepas.

Saluran dalam talian dan layan diri KWSP terus mencatatkan peningkatan yang memuaskan dan penurunan dalam kunjungan ke kaunter dan penggunaan kiosk.

Ia selari dengan usaha strategik KWSP untuk mecapai tidak kurang daripada 80 peratus ahli menggunakan saluran layan sendiri kami.

“Kami secara aktif menyarankan ahli untuk mendaftar i-Akaun kerana ia membolehkan mereka untuk menyemak akaun mereka secara lebih dekat selain menjalankan transaksi dengan KWSP dengan lebih mudah.

“Dalam usaha untuk mengurangkan transaksi secara manual, kami telah menambahbaik kemudahan e-Pengeluaran melalui i-Akaun yang akan menyaksikan perkhidmatan hujung-ke-hujung (end-to-end) dalam proses permohonan pengeluaran selain penambahan ciri-ciri baharu,” katanya. – MalaysiaGazette