Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengendali-pengendali stesen minyak boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan Kawalan Bekalan 1974 jika gagal memastikan bekalan petrol mencukupi atau menutup presmis masing-masing pada 1 Januari 2019.

Jika didapati bersalah mereka boleh di denda kali pertama sebanyak RM1 juta, diikuti RM3 juta bagi kesalahan kedua dan kemungkinan mereka akan kehilangan lesen.

Ini kerana, petrol dan diesel adalah barang yang dijadualkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga komoditi penting.

Malah, Timbalan Pengarah Operasi Khas, Datuk Iskandar Halim Sulaiman memaklumkan pihaknya telah menghantar notis bagi mengingatkan operator stesen minyak untuk mematuhi undang-undang.

“Kami telah menghantar kira-kira dua per tiga notis. Malah stesen petrol luar bandar akan mendapat notis berkenaan dan ramai mengakui telah notis itu, jadi mereka tidak boleh mengatakan mereka tidak tahu,” kata Iskandar seperti yang dilaporkan The Star ketika melawat stesen minyak di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Beliau berkata, untuk memastikan bekalan minyak mencukupi, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan ditempatkan di 3,700 stesen-stesen minyak.

“Kami telah mengeluarkan arahan kepada kira-kira 2,300 pegawai penguat kuasa bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi,” tambah beliau.

Tindakan itu dibuat susulan kenyataan Presiden Persatuan Peniaga Peniaga Bumiputera Malaysia, Datuk Abu Samah Bachik yang mendakwa pengguna semakin bimbang berikutan spekulasi kekurangan bekalan bahan api di stesen-stesen minyak kerana pemilik enggan menambah stok sebelum 1 Januari.

Iskandar berkata, kenyataan itu bahaya kerana ia boleh menimbulkan panik dalam kalangan pengguna memandangkan 1 Januari ramai yang menggunakan kereta dan 2 Januari pula bermula sesi persekolahan.

Jika ada kekurangan, ia akan menimbulkan gangguan, tambah beliau.

Pengendali stesen minyak dilaporkan enggan menambah bekalan tangki selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan untuk melaksanakan mekanisme apungan mingguan mulai 1 Januari 2019.

Langkah itu dikembalikan semula selepas harga minyak dunia menyusut sejak dua bulan lalu.

Sekiranya stesen minyak memesan bekalan minyak pada 31 Disember, mereka perlu membayar lebih kerana harga minyak dijangka turun pada 1 Januari. – MalaysiaGazette