Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan semasa UKM di Bilik Mesyuarat Lembaga, Universti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2018

BANGI – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak mempunyai kerangka bagi pelan tindakan ekonomi yang jelas.

Menurut penganalisis ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, rakyat masih kabur dengan pelan tindakan ekonomi yang dipamerkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ulas beliau, pelan tindakan itu tidak dapat dilihat dengan jelas sebagaimana yang dipraktikkan oleh kerajaan terdahulu dengan mewujudkan pelan tindakan ekonomi baharu pada tahun 2010.

“Kita ada kerajaan baharu, jadi kita kena jelas. Saya dengar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) kata aspek-aspek baik daripada BN harus diteruskan. Jadi aspek mana yang nak diteruskan?

“Kerajaan kena keluar dengan pelan tindakan yang baharu,” katanya dalam sidang media khas di Bilik Mesyuarat Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Ujar Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pelan tindakan ekonomi di pihak kerajaan amat penting bagi memastikan negara berada dalam landasan yang betul.

Ia penting agar pelan tersebut dapat menggerakkan pelbagai sektor agar membolehkan kerajaan mencapai segala perancangan yang telah dan bakal direncanakan.

“Kalau ada pelan ekonomi baharu mudah untuk industri nak tumpu kepada sektor mana samada pembangunan tenaga manusia, Menteri Sumber Manusia perlu tahu sektor mana untuk keluarkan pekerja.

“Universiti hendak tumpu bahagian mana dan program baharu, masyarakat luar bandar bagaimana cara untuk mereka hadapi ekonomi.

“Saya percaya itu akan dibuat di masa akan datang, cuma saya harapkan itu dapat dikongsi. Mungkin dalam bulan Mac akan ada pelan tindakan yang baharu daripada kerajaan” katanya lagi. -MalaysiaGazette