KAJANG – Seramai 1,709 pelajar sekolah menengah di 178 kawasan berisiko tinggi didapati positif dadah setakat Oktober, kata Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata kawasan berisiko tinggi di Sarawak, Kedah dan Kelantan merekodkan peratusan pelajar paling tinggi terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Seramai 41,741 pelajar dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun di kawasan berisiko tinggi telah menjalani ujian saringan, daripada jumlah berkenaan 1,709 dikesan positif dadah. Kebanyakan mereka positif jenis dadah methamphetamin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata selain menyasarkan pelajar-pelajar sekolah, saringan turut dilakukan terhadap jabatan kerajaan dan swasta bagi mengesan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

MGF31102018_OPS PERDANA_03
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah

“Pada tahun hadapan kita akan memperkasa lagi saringan itu bagi membantu dan membanteras penggunaan dadah di tempat kerja.

“Kita nak bantu mereka yang ada masalah, bukannya mencari salah seseorang. Di AADK sendiri kita telah laksana ujian saringan ini terhadap 2,841 kakitangan dan empat orang telah dikesan positif dadah,” katanya.

Menurutnya, kakitangan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan diambil tindakan susulan mengikut undang-undang sedia ada.

Terdahulu, Zulkifli melancarkan talian Hotline AADK 24 jam sebagai satu medium awal bagi orang awam melaporkan setiap isu berkaitan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing selain mendapatkan khidmat nasihat berkaitan rawatan dan pemulihan di fasiliti AADK.

Orang awam boleh menghubungi talian 03-89112233 atau 019-6262233 sekiranya memerlukan khidmat nasihat atau melaporkan aktiviti salah guna dadah.

— BERNAMA