BERGELAR ibu tunggal ketika diri masih berbadan dua adalah detik paling pahit bagi wanita ini. Dunianya menjadi ‘gelap’ buat seketika.

Perasaan sebak menyelubungi diri apatah lagi mengenangkan nasib bayi dalam kandungan yang semakin membesar.

Kesedihannya semakin memuncak di saat melahirkan cahayamata yang sepatutnya menjadi kenangan terindah buat pasangan yang bergelar suami isteri.

Ketika itu hanya saudara dan sahabat handai tempat beliau bergantung harap.

Namun bagi Zarinatul Sheyliza Mohd. Hanafiah, 39, peristiwa yang terjadi kira-kira 10 tahun lalu langsung tidak mematahkan semangatnya sebaliknya ia menjadi azimat untuk dirinya bangkit dan kembali membela ibu-ibu yang susah dan yang senasib dengan beliau.

” Semua ibu di dunia ini mahu zuriat yang lahir dari rahim mereka bukan saja sihat tetapi juga mendapat kasih sayang, belaian dan penjagaan yang sesempurna mungkin. Namun ramai di antara mereka terpaksa melalui pelbagai onak dan dugaan. Saya sendiri terpaksa dibantu oleh sahabat handai selepas melahirkan cahaya mata kedua saya ketika itu.

” Atas kesedaran tersebut, saya bangkit dan nekad ingin membantu ibu-ibu yang susah, melarat dan sengsara ini dengan cara saya sendiri,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette baru-baru ini.

Wanita yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini ternyata tidak hanya omong kosong.

Setelah tiga tahun berhempas pulas, Sheyliza yang bertugas sebagai Ketua Unit Statistik dan Pelaburan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini boleh berbangga apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Buai Sayang yang diterajuinya semakin menjadi bualan dalam masyarakat apabila aktif dalam menyediakan kelengkapan bayi secara percuma kepada ibu-ibu yang miskin dan dan melarat di seluruh negara.

37579760_1305250179610487_9029684568176721920_o

Menurut Sheyliza, projek yang dikenali sebagai Babybox ini sebenarnya diinspirasikan dari negara Finland.

Katanya, ‘babybox’ yang diperkenalkan di negara itu sejak 1936 pada asalnya untuk mengurangkan kadar kematian di kalangan bayi yang baru lahir.

Tambahnya, ia asalnya diberikan kepada keluarga yang mempunyai latar belakang berpendapatan rendah, yang tidak mampu menyediakan katil bayi untuk bayi mereka.

Ujarnya, apabila pemberian ‘babybox’ ini didapati berjaya mengurangkan bilangan ‘Sudden Infant Death Syndrome’, kerajaan Finland telah memutuskan untuk memberi ‘babybox’ kepada semua rakyatnya tanpa mengira latar belakang sosial mereka.

Tambahnya lagi, konsep ‘babybox’ ini telah mencetuskan idea untuk beliau membantu ibu bapa di Malaysia menyediakan keperluan asas untuk bayi.

” Sekarang ini kita tengok ramai para ibu meminta bantuan barangan bayi di media sosial kerana tiada dana untuk menyambut kelahiran bayi.

” Ini telah membuat saya dan rakan-rakan berazam untuk membantu ibu-ibu ini dengan memulakan pengumpulan barangan bayi melalui media sosial dan seterusnya mengagihkan kepada mereka yang memerlukan,” kata Sheyliza.

Babybox (2)

Jelas beliau, untuk bayi yang baru lahir sehingga berusia enam bulan, pihaknya akan menyediakan sebuah kotak yang mengandungi enam set pakaian siang, lima set pakaian tidur, sepasang pakaian untuk berjalan, tiga helai barut, lima set sarung tangan dan kaki, sehelai bedung, satu termometer, sabun mandian bayi, tuala, minyak telon dan topi.

Katanya, bagi bayi yang berusia enam bulan sehingga 12 bulan pula, mereka akan menyediakan kotak yang mengandungi lima set pakaian siang, lima set pakaian tidur, sepasang pakaian untuk berjalan, tiga helai bibs, tiga sarung kaki, satu termometer, sabun mandian bayi, mainan dan minyak telon.

Mengulas lanjut, kata Sheyliza, selain ‘babybox’, persatuan tersebut juga memperkenalkan ‘Babyboxkit’ khusus untuk diagihkan sewaktu berlaku bencana alam seperti banjir, ‘BabyboxRaya’ iaitu bantuan berupa sehelai baju raya untuk bekas penerima dan penerima kotak ‘babybox’ sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri serta ‘Babykasih’ iaitu bantuan keperluan bayi bernilai RM100 secara berterusan sehingga 24 bulan untuk bayi yang keluarganya dalam kelompok miskin tegar, berpenyakit atau kehilangan ibu bapa.

mn

Dalam pada itu, Sheyliza mengakui setiap bulan pihaknya terpaksa ‘bergelut’ memikirkan kaedah untuk mendapatkan dana dan juga sumbangan pakaian daripada orang ramai bagi menjayakan projek ‘babybox’ ini kerana adakalanya kos yang terpaksa mereka tanggung hampir mencecah RM5,000 sebulan.

” Kami betul-betul mengharapkan sumbangan daripada masyarakat, saya dan wakil-wakil persatuan kami di seluruh negara juga bertugas sukarela, malah adakalanya terpaksa guna duit sendiri kerana terlalu sayangkan projek ‘babybox’ ini dan bila memikirkan betapa besar manfaat yang diperoleh oleh ibu-ibu di luar sana daripada kerja-kerja yang dibuat.

” Untuk itu kami memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menaja sebanyak RM30 bagi sebuah ‘babybox’, ia masih rendah kerana kos sebenar boleh mencecah sehingga RM60 untuk sebuah ‘babybox’.

” Selain sumbangan dalam bentuk kewangan, kami turut mengalu-alukan mana-mana orang perseorangan atau badan korporat untuk menaja pakaian serta lampin untuk bayi yang baru lahir sehingga yang berumur 12 bulan,” kata Sheyliza lagi.

Palu 2

Mengenai syarat mereka yang hendak memohon ‘babybox’ ini, Sheyliza berkata, pihaknya menetapkan pendapatan isi rumah mereka mestilah RM1,000 sebulan ke bawah atau RM3,000 ke bawah jika mempunyai tanggungan lapan orang atau lebih.

Menyentuh mengenai pengalamannya sepanjang terlibat dalam projek ‘babybox’ ini, Sheyliza berkata, misi bantuan ke Palu baru-baru ini cukup menginsafkan beliau kerana beliau melihat sendiri kesengsaraan para ibu mengandung di sana yang terpaksa menempuh pelbagai kesukaran akibat tsunami yang melanda penempatan mereka.

Selain itu, ujarnya, beliau juga banyak berhadapan dengan kes ibu muda yang mengandung anak di luar nikah.

23550357_1133689703433203_627116293670649760_o

” Apa yang boleh saya katakan, projek ‘babybox’ ini bukan sekadar memberi sebuah kotak barangan asas bayi, tetapi ia juga adalah tanda kasih sayang dan keprihatinan kita kepada ramai insan di luar sana yang tidak bernasib baik.

” Ramai di antara mereka bukan sahaja terpaksa bersabung nyawa untuk mengandung dan melahirkan, tetapi terpaksa menanggung derita penganiayaan mental dan fizikal daripada manusia yang sepatutnya memberikan mereka sokongan serta harapan dalam melalui fasa kehamilan yang mencabar itu.

” Sumbangan kita mungkin kecil, tetapi percayalah, ia memberikan impak yang cukup besar bagi ibu-ibu ini,” kata Sheyliza.

bbb

Mereka yang ingin maklumat lebih lanjut mengenai Persatuan Buai Sayang dan projek ‘babybox’ mereka boleh menghubungi Sheyliza di talian 012-485 4711 dan Setiausaha persatuan, Norhayati Ruslan di talian 016-202 1537.

Orang ramai boleh juga melayari Facebook Babybox Malaysia dan Instagram ProjekbabyboxMalaysia. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast