Pemain Malaysia, Muhammad Akhyar Abdul Rashid diasak keras pemain Vietnam semasa perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam yang berkesudahan 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak
rayuan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk mendapatkan bayaran pampasan lebih tinggi daripada pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain mudanya, Akhyar Rashid.

FAM dalam satu kenyataan berkata, selepas menilai fakta dan peraturan ditetapkan, Jawatankuasa Rayuan badan induk itu yang bermesyuarat semalam berpendapat jumlah pampasan RM75,000 yang sudah ditetapkan Jawatankuasa Status Pemain awal bulan ini dikekalkan.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff mencapai kata sepakat jumlah pampasan berkenaan tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya ia mengikut artikel dalam Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.

“Jumlah RM210,000 itu adalah berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

“Jumlah RM75,000 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, KFA menyifatkan pihaknya menganggap isu berkenaan belum selesai dan akan mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Difahamkan, Akhyar masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM itu memuktamadkan segala kemelut yang timbul dan mana-mana pasukan berhak mendapatkan Akhyar dengan nilai RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak berjumlah RM210,000.

“Jumlah RM75,000 tersebut adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan untuk diperoleh KFA dengan mengambil kira nilai-nilai murni bola sepak. Untuk itu, secara keseluruhan KFA akan menerima sejumlah RM285,000,” menurut kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette