Syed Saddiq
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap ketika sesi sidang media pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh bertuhan atau berkiblatkan wang, selain menjadi hamba kepada harta seperti amalan dipegang UMNO.

Ketuanya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, prinsip yang perlu dipegang ialah menunaikan amanah kepada rakyat.

Ketika menitipkan perkara itu, Syed Saddiq berkata, kronisme, projek mega, akaun pesisir pantai, dana tersembunyi, peruntukan berbilion ringgit yang menjadi modus operandi kerajaan terdahulu perlu ditinggalkan kerana ia merupakan cerita lama.

“Bekerja dan beramanah untuk rakyat. Bukan untuk kembungkan perut sendiri, bukan untuk anak isteri. Wang negara adalah wang rakyat.

“Prinsip, nilai, amanah, tanggungjawab, integriti dan manusiawi ialah tali yang harus kita genggam sebagai sebuah parti.

“Mungkin kita boleh jadi kaya. Semua ahli jadi hartawan. Anak isteri jadi jutawan tetapi apa lagi nilai yang tinggal pada kita?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Armada pertama, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Syed Saddiq turut membangkitkan keperluan membela wanita muda selepas mereka bergadai harta benda, penat lelah dan jiwa membantu kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ujarnya, perangkaan menunjukkan lebih 15,869 wanita muda menyertai Bersatu awal tahun ini, namun persoalan ketika ini ialah mengenai status mereka yang ibarat lenyap ditelan peredaran waktu.

Sementara itu, Syed Saddiq menyeru sokongan Ahli Parlimen dan Jemaah Menteri untuk melawan Kesatuan Eropah (EU) kerana memboikot minyak sawit negara.

Tegasnya, kerajaan perlu memulakan gerakan yang serius dan berani untuk melawan EU.

“Jika mereka boikot produk Felda, kita harus lawan. Kalau EU boleh boikot Felda, kita boleh buat perkara serupa. Malaysia negara kecil berbanding EU. Tapi, kita pernah melawan kuasa besar.

“Suatu ketika dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah gerakkan kempen Buy British Last pada tahun 1981 kerana isu pegangan getah dalam syarikat Guthrie dan harga tuisyen pelajar Malaysia dinaikkan.

“Oleh itu, kontrak import British diketatkan menyebabkan mereka takut dan terkejut,” ujar beliau.

Katanya lagi, sudah tiba masanya Melayu bangkit daripada ditindas dan melawan negara besar dari terus dipijak.

Syed Saddiq turut berjanji akan membawa hak dan suara Felda kerana ia membabitkan kebajikan anak Melayu kerana jika tiada Felda, Melayu akan susah.

“Ini masa depan rakyat, masa depan petani kecil sederhana dan masa depan generasi Melayu Felda.

“Kepada rakan saya di EU, kamu menyeksa golongan yang paling miskin di negara ini. Kami tidak akan biarkan perkara itu dan akan lawan balik untuk melindungi generasi Felda,” katanya lagi.

Tambah beliau, masih ada Melayu peneroka Felda yang masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Bagaimanapun, katanya, beliau bangga kerana banyak yang kerajaan bantu untuk Melayu Felda termasuk peruntukan khas untuk peneroka Felda sebanyak RM77 juta yang disalurkan pada 20 Disember lalu.

Industri minyak sawit negara berhadapan dengan kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia dikaitkan dengan penebangan hutan dan seringkali dituduh menjadi punca jerebu di rantau berkenaan.

Malah, EU turut mencadangkan resolusi supaya menghentikan penggunaan minyak sayuran dalam biodiesel yang dihasilkan menerusi cara tidak mapan.

Resolusi itu termasuklah minyak sawit, komoditi penting bagi Indonesia dan Malaysia yang menghasilkan hampir 90 peratus minyak sawit dunia. – MalaysiaGazette