Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Pendapatan pelaburan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepatutnya diagihkan kepada pemohon-pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah.

Khairy Jamaluddin berkata, PTPTN tidak sepatutnya memisahkan bahagian pelaburannya dengan tanggungjawab utamanya dalam menyediakan bantuan kewangan kepada bakal-bakal penuntut pengajian tinggi.

“Sesetengah ijtihad (perbuatan mengkaji atau menyelidik sesuatu berdasarkan peraturan-peraturan tertentu) diperlukan di sini bukan secara membuta mengikut keperluan zakat konvensional,” kata Ahli Parlimen Rembau itu.

Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan tindakan PTPTN membayar zakat sebanyak RM1 juta kepada Kedah ketika agensi itu PTPTN sedang bergelut isu kutipan balik pinjaman dari peminjam.

Khairy yang mengulas perkara itu berkata, PTPTN tidak wajib membayar zakat kerana ia bukanlah sebuah perniagaan, atau organisasi yang menjana keuntungan.

Katanya, PTPTN sendiri terpaksa menggunakan dana pusingan dan setiap tahun perlu membuat pinjaman daripada institusi kewangan bagi memastikan ia boleh menyediakan dana pendidikan kepada pelajar-pelajar.

Sehingga kini, hutang PTPTN kepada insititusi kewangan adalah berjumlah lebih RM40 bilion.

Namun, pada hari ini, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pembayaran zakat itu dibuat atas nasihat lembaga zakat.

Wan Saiful juga berkata, beliau tidak berminat untuk mempolitikkan isu pembayaran zakat PTPTN.

“Ustaz Khairy boleh berfatwa sendiri, tetapi saya lebih percaya kepada ilmuwan Islam dalam lembaga zakat berbanding mereka yang mahu mempolitikkannya.

“Pembayaran dibuat di semua negeri, termasuk yang bukan di bawah Pakatan Harapan. Saya tidak berminat menjadikan kewajiban agama sebagai isu politik,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh sebuah portal. – MalaysiaGazette