Antonio Valencia.

LONDON – Antonio Valencia akan kekal sebagai ketua pasukan kelab itu, kata pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Jelas Solskjaer, lilitan kapten akan kembali kepada pemain berusia 33 tahun itu apabila dia kembali cergas untuk beraksi di padang.

“Valencia adalah pemain pertahanan kanan yang terbaik untuk membantu bahagian serangan,” kata Solskjaer kepada Goal.com

Sementara itu, Solskjaer turut mengulas mengenai kebangkitan semula pasukan itu di bawah kendaliannya adalah atas usaha pemain-pemain sendiri.

Jelasnya, kini giliran Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka di atas padang.

Sanchez tidak beraksi bersama United sejak November tahun ini selepas mengalami kecederaan pada otot hamstring manakala Lukaku hanya kembali berlatih bersama skuad selepas tidak beraksi dalam dua perlawanan yang dikendalikan Solskjaer.

Sejak Solskjaer kembali ke United sebagai pengurus, United mencatat dua kemenangan berturut-turut selepas melakar kemenangan 5-1 ke atas Cardiff City dan 3-1 ke atas Huddersfield.

Solskjaer merupakan bekas penyerang United yang berjaya memenangi satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah, enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan dua Piala FA bersama kelab itu. – MalaysiaGazette