Pemain Malaysia, Muhammad Akhyar Abdul Rashid diasak keras pemain Vietnam semasa perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam yang berkesudahan 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mula kembali bersuara apabila menegaskan Akhyar Rashid masih milik mereka.

Menerusi laman Facebook rasmi, KFA berkata setakat ini tiada proses penebusan kontrak oleh pemain berusia 19 tahun itu dan pelepasan dilakukan menurut peraturan FAM, AFC dan FIFA.

“Sijil Pelepasan Pemain masih di bawah hak mutlak KFA dan status quo pemain kekal berkontrak sehingga 30 November 2019.

“Sebarang pelanggaran menandatangani dua kontrak pada masa yang sama, adalah penghinaan kepada Statut FAM, pihak berkenaan akan menjadi asas aduan tatatertib oleh KFA.

“KFA dalam proses meneruskan tindakan di Mahkamah Timbangtara Sukan,” jelas kenyataan tersebut.

Sebelum ini,  Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuktamadkan segala kemelut yang timbul dan mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan Akhyar perlu membayar pampasan RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak RM210,000.

Semalam, Pengarah Sukan Martin Prest berkata,  Johor Darul Ta’zim (JDT) berasa gembira telah berjaya mendapatkan tandatangan pemain itu dengan kontrak selama empat tahun.

“JDT juga telah menambah klausa pelepasan perpindahan bernilai RM12,000,000 ke atas kontrak Akhyar.

“Terdapat yuran pembangunan (development fee) sebanyak RM75,000 yang perlu dibayar kepada bekas kelab pemain tersebut, dan sebagai tanda hormat kepada pasukan Kedah yang telah membangunkan bakat Akhyar, JDT akan membayar Kedah RM100,000,” jelasnya di laman Facebook Johor Southern Tigers. – MalaysiaGazette