Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Aliran keluar dana bersih asing Malaysia pada 2018 melebihi aliran masuk bersih asing tahun lepas sebanyak RM10.3 bilion, walaupun trend itu mendatar menjelang akhir 2018, kata penganalisis.

Bagi 2018 setakat ini, aliran keluar bersih asing berjumlah RM11.62 bilion atau US$2.80 bilion (US$1 = RM4.15).

Penganalisis Penyelidikan, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Adam Mohamed Rahim berkata, jumlah aliran keluar bersih asing dari 24 hingga 27 Dis, 2018 adalah RM101.6 juta, lebih kecil berbanding aliran keluar RM360.2 juta yang dicatatkan dalam tempoh empat hari minggu lepas.

“Penjualan bersih asing Malaysia pada Isnin susut kepada kurang RM13 juta menjelang perayaan Krismas, berbanding tiga hari dagangan sebelumnya yang menyaksikan aliran keluar bersih asing melebihi RM100 juta,” katanya.

Beliau berpendapat, pengurangan aliran keluar bersih asing itu tiada kaitan dengan aktiviti menambah baik akaun sebaliknya disebabkan janji Beijing untuk menyokong ekonomi berikutan ketidaktentuan perdagangan global menerusi pemansuhan cukai dan memastikan mudah tunai dikekalkan.

Apabila pasaran dibuka semula selepas cuti Krismas, beliau berkata jualan bersih asing meningkat sehingga RM60.6 juta pada Rabu.

“Dana antarabangsa mengambil petunjuk daripada penjualan sebelum cuti di Wall Street memandangkan pelabur memberi reaksi terhadap pergolakan politik di Washington pada hujung minggu apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membincangkan cara untuk memecat Jerome Powell sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) negara itu,” katanya.

Malah, Trump meneruskan ancamannya terhadap Fed pada Isnin, dengan menyatakan Fed adalah satu-satunya masalah dalam ekonomi AS, selain mendakwa bank pusat itu tidak memahami perkara berkaitan perang perdagangan dan pengukuhan dolar.

Bagaimanapun, Adam berkata paras jualan bersih asing pada Khamis susut kepada jumlah yang lebih rendah iaitu RM28.1 juta ketika peningkatan semalaman di Wall Street susulan laporan bahawa jualan sempena cuti adalah kukuh.

Adam berkata, Malaysia masih mengekalkan kedudukannya sebagai negara dengan aliran keluar bersih kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN, dengan Thailand pada US$9 bilion, Indonesia (US$4 bilion), Malaysia (US$2.8 bilion) dan Filipina (US$1 bilion).

Bagi masa akan datang, aliran dana masuk dan keluar dari/ke Malaysia sebahagian besarnya akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti dasar perbankan pusat dan kesan menghentikan tarif perdagangan baharu selama 90 hari antara AS dan China.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata penjualan dana asing mula giat pada Mei tahun ini terutamanya disebabkan faktor global termasuk pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan harga komoditi tidak menentu selain pra dan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Selepas pilihan raya umum itu, penjualan dana asing bermula apabila tahap hutang Malaysia sebanyak RM1 trilion diumumkan oleh kerajaan, harga minyak mentah turun naik serta eksport secara keseluruhannya lemah (kecuali pada Oktober).

“Pelabur asing meneruskan jualan mereka kerana perkembangan tersebut memberi kesan kepada persepsi mereka terhadap ekonomi Malaysia.

“Selain itu, kita tidak mempunyai kawalan terhadap keadaan global. Sebagai negara perdagangan, kita tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan ketegangan perdagangan akan reda atau berakhir dan harga minyak mentah serta komoditi akan meningkat kembali,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berpendapat jualan asing telah stabil dan mendatar minggu ini walaupun terdapat ketidaktentuan menyelubungi pasaran.

Beliau berkata, sentimen kekal berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan berikutan tekanan daripada ketegangan perdagangan dan pertumbuhan global, kadar faedah lebih tinggi dan penutupan kerajaan AS, tetapi pemulihan terbesar Wall Street baru-baru ini memberikan rangsangan yang amat diperlukan untuk pasaran Asia yang terjejas teruk.

“Berdasarkan aktiviti memperelok akaun yang banyak dan pengimbangan semula indeks yang dilihat menjelang akhir tahun ini, pasaran ekuiti tempatan dijangka meningkat semula dalam tempoh terdekat kerana pasaran telah terlebih jual selama berminggu-minggu.

“Berdasarkan faktor positif tahun baharu ini dijangka institusi akan mula membeli, dengan indeks penanda aras menunjukkan aliran meningkat pada paras 1,700,” katanya.

Mohd Nazri berkata, ringgit juga dijangka meningkat seiring dengan trend mendatar dalam jualan asing.

RINGGIT

Mengenai ringgit, Hong Leong Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata, mata wang tempatan telah mengukuh 0.30 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS serta tinggi berbanding semua mata wang negara G10, disokong kenaikan harga minyak mentah dan ekuiti pada pertengahan minggu.

“Kita positif sedikit terhadap ringgit dengan jangkaan penurunan seterusnya bagi dolar AS minggu depan, tetapi kenaikan akan terus sederhana ketika tekanan berlarutan daripada pengelakan risiko yang meluas dalam pasaran.

“Kejutan daripada data Malaysia akan memberi sedikit sokongan. Kami mengekalkan pandangan bahawa dolar AS telah meningkat tinggi berbanding ringgit dan akan bergerak ke paras rendah pada masa depan,” menurut bank itu dengan menambah, ringgit dijangka menguji paras 4.1500 seterusnya.

Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata, di Malaysia, pelabur akan menghala perhatian mereka kepada laporan Indeks Harga Pengeluar dan bekalan wang meluas (M3) bagi November yang dijadual dikeluarkan pada Isnin, 31 Dis untuk mendapatkan petunjuk arah pasaran.

“Selain itu perhatian juga diberikan kepada laporan Indeks Pengurus Pembelian Nikkei pada 2 Jan, 2019, yang sewajarnya menyediakan petunjuk baharu mengenai kedudukan sektor pembuatan Malaysia bagi bulan terakhir 2018,” katanya.

Berdasarkan data perdagangan terkini yang dijadual dikeluarkan pada 4 Jan ini juga, minggu depan pastinya menjadi minggu dagangan yang penuh dengan pengumuman menarik bagi ringgit, katanya.

“Walaupun mata wang tempatan mempunyai asas untuk meningkat ketika data ekonomi domestik positif, namun prospek ringgit kekal dipengaruhi faktor luaran seperti perkembangan perdagangan global dan prestasi dolar AS,” katanya. – MalaysiaGazette