Sivarrajh
Naib Presiden MIC Datuk Sivarraajh Chandran

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah ada spekulasi siapa bakal calon mewakili parti MIC bertanding untuk kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands namun masih ada elemen ‘kejutan’ nampaknya.

Menurut sumber Malaysia Gazette, bekas calon kawasan yang sama yang juga Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarrajh masih ada harapan.

“Setakat ini, Sivarrajh masih lagi menjadi keutamaan kepimpinan tertinggi dan bukan calon-calon lain.

“Memang sudah ada beberapa nama lain yang ‘naik’ bagi kerusi ini malah ada pihak cuba melobi juga tetapi hakikatnya parti dan sebahagian besar warga Cameron Highlands masih berharap Sivarraajh menjadi calon.

“Malah MIC akan memohon semakan kehakiman terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung mengapa Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan mengundi dalam pilihan raya untuk lima tahun akan datang.

“Keputusan hakim sebelum ini tidak menamakan Sivarraajh atau pihak lain di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebagai individu yang mengamalkan elemen rasuah. Kita juga masih musykil bagaimana SPR bertindak dan memberi keputusan ini.

“Saya mohon semua pihak bersabar, kepada yang merasakan diri itu layak menjadi calon harap bersabar, bagi peluang Sivarraajh membuat semakan kehakiman dulu. Bagi peluang kepada beliau apatah lagi sudah lalui keadaan sukar serta cabaran sejak beberapa bulan ini,” katanya hari ini.

Sumber tersebut mengulas laporan Malaysia Gazette berhubung antara calon MIC yang bakal di umumkan termasuk Naib Presiden, Datuk T. Murugiah yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dulu.

Mahkamah Pilihan Raya November lepas telah mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang dimenangi Sivarrajh adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh calon BN itu walaupun beliau sendiri mengakui dalam keputusan beliau bahawa Mahkamah tidak dapat membuktikan siapakah sebenarnya yang melakukan perbuatan rasuah

Dalam penghakimannya, Azizah berpandangan pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Beliau juga tidak dapat mengemukakan bukti yang boleh mengaitkan perbuatan rasuah dengan Sivarraajh sebaliknya berkata wujudnya elemen rasuah orang Asli di rasuah BN tanpa menyebut siapakah sebenarnya sebelum membatalkan kemenangan kerusi itu.

Terdahulu, ketika menghubungi Murugiah, beliau hanya sekadar menyerahkan keputusan berhubung calon kepada Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran dengan hanya mahu fokus kepada kemenangan oleh MIC kelak.

“Saya tidak tahu tentang calon dan siapakah yang akan di calonkan. Bagi saya kemenangan MIC di situ adalah penting,” katanya.

Selain daripada Murugiah, Ahli Jawatankuasa Pusat, P. Punithan juga menjadi sebutan bagi menjadi calon seandianya Sivarraajh tidak tercalon.

Ketika dihubungi, Punithan hanya sekadar melahirkan rasa terkejut berhubung desas desus itu dan menyatakan dirinya tidak tahu-menahu.

“Sejujurnya, saya tidak tahu langsung tentang perkara ini malah pelik juga apakah sebenarnya agenda ‘pihak’ yang menyebut nama saya ini.

“Tidak pernah pula saya terfikir untuk bertanding di Cameron Highlands apatah lagi dalam keadaan Datuk Sivarraajh menghadapi pelbagai cabaran, ujarnya. -MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/30/prk-c-highlands-murugiah-ganti-sivarrajh/