Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 30 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berhasrat mengembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negara ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan yakin dengan undang-undang sedia ada yang menggantikan ISA.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, undang-undang tersebut adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

“ISA sudah dimansuhkan pada tahun 2012 pada pentadbiran dulu dan kita tidak ada hajat membawa semula di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana selepas tidak ada ISA, ada SOSMA.

“Ada yang rayu SOSMA juga hapuskan tetapi kita sudah tubuh jawatan kuasa yang dibentuk dan dikaji serta mendapati ada keperluan dipinda, undang-undang keselamatan masih dianggap penting harus dipertahankan.

“Kalau tidak ada pihak yang menganggap negara ini terlalu bebas, boleh buat apa sahaja ada yang mengancam jika termasuk dalam kumpulan pengganas atau terdiri gangster yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di sini hari ini.

Beliau tampil mengulas usul yang dikemukakan oleh pembahas dari Johor sama ada ISA akan dikembalikan atau sebaliknya.

Muhyiddin menegaskan , sekiranya tidak ada undang-undang sedia ada, ianya akan memberi kesan tidak baik kepada rakyat dan negara.

Tegas beliau, di samping tidak ada ISA, terdapat SOSMA yang masih terkawal dan ada dua lagi undang-undang iaitu POTA dan POCA.

Dua undang-undang ini katanya yang sedang kaji dan teliti sama ada dibuat penyesuaian pindaan dalam suasana pada hari ini.

“Pendek kata dengan ada undang-undang yang masih berkuatkuasa termasuk Perhimpunan Aman, kita masih boleh pakai sedia ada oleh pihak berkuasa bagi mengekalkan keamanan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette