Tan Sri Tony Fernandes
Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – Lebih 70 kontrak berkaitan Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedang dikaji semula bagi membolehkan ketelusan terhadap perbekalanan barangan dan perkhidmatan kepada pihak itu.

Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kontrak tersebut akan menjadi lebih baik sekiranya penelitian dilakukan secara dalaman dan terancang.

Menurutnya, pada masa sama tiada hak eksklusif diberikan kepada semua kontraktor terlibat.

“Kajian semula ini melibatkan penilaian semula semua kontrak semasa untuk bekalan barangan dan perkhidmatan serta struktur organisasi di peringkat atasan dan pertengahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Tony berkata, PSM kini mempunyai sejumlah 67 individu yang merupakan lantikan kontrak serta 109 orang berjawatan tetap.

Akibat daripada lebihan kakitangan, berlaku pertindihan tugas antara satu dengan yang lain.

Justeru katanya, PSM memutuskan mana-mana kakitangan kontrak yang akan tamat tempoh berkhidmat pada 31 Disember 2018 akan diberikan tempoh sehingga 15 Februari 2019 sebagai tempoh “soft landing” dan memberi ruang kepada mereka untuk mencari pekerjaan lain. – MalaysiaGazette