RIO DE JANEIRO – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang kini terpalit dengan tiga dakwaan rasuah berikrar tidak akan sesekali meletak jawatan walaupun Peguam Negara mahu mendakwanya.
The Times of Israel dan agensi media lain memetik kenyataan Netanyahu sebagai berkata, walaupun pendakwaan dilakukan terhadapnya sebelum pilihan raya, beliau tidak akan meletak jawatan atau menarik diri.
Netanyahu menegaskan, demokrasi negara tidak dihormati seandainya ada desakan sehingga beliau meletak jawatan semata-mata dakwaan telah dilakukan terhadapnya.
“Bayangkan apa akan berlaku seandainya Perdana Menteri ‘berjaya’ disingkirkan oleh golongan tertentu sebelum sesi pendengaran berakhir dan selepas itu mereka memutuskan untuk menutup kes.
“Tidak ada apa-apa yang lebih mengarut selain daripada ini. Malah ianya merupakan satu tamparan paling hebat kepada sistem demokrasi kita dan saya tidak akan sesekali lakukan perkara itu.
“Dalam undang-undang kita, tidak termaktub undang-undang yang mengatakan seseorang Perdana Menteri perlu meletak jawatan ketika proses pendengaran, malah tidak akan ada sebarang kesimpulan sehingga hujah di pihak saya didengari.
“Saya langsung tidak berhasrat untuk letak jawatan, itu muktamad,” katanya kepada media semalam di Rio De Jenario.
Netanyahu kini sedang berdepan dengan tiga tuduhan rasuah selepas Peguam Negara dinasihati oleh pihak polis supaya dakwaan dilakukan terhadapnya.
Manakala Netanyahu pula telah mengumumkan pilihan raya awal akan diadakan April ini dengan harapan untuk mendapatkan mandat politik baru bagi ‘membantunya’ berhadapan dengan dakwaan siasatan rasuah terhadapnya.
Keputusan pendakwaan dijangka dalam masa beberapa minggu lalu namun ada juga ura-ura menyatakan Peguam Negara boleh membuat pilihan menangguhkan pendakwaan terhadap Netanyahu sehingga pilihan raya berakhir.
Ini juga untuk memastikan keputusan itu tidak mempengaruhi keputusan pilihan raya kelak berikutan dakwaan rasuah tetapi belum ada sebarang muktamad berhubung perkara ini. –MalaysiaGazette
















