Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari
Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor tidak mahu bersikap sambil lewa dengan hanya menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), terutama berkaitan senario semasa ekonomi negara.

Menteri besarnya Amirudin Shaari berkata, beliau sering mendengar dan membaca luahan kemarahan rakyat supaya Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan kesalahan terhadap parti berkenaan.

Katanya, rakyat mahukan pentadbiran yang baik sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan dan mengotakan janji serta melaksanakan segala perubahan yang dicanang.

“Sudah pasti saya tidak mahu bersikap sambil lewa dengan hanya menyalahkan UMNO, BN.

“Segala gesaan itu adalah wajar kerana rakyat Malaysia memilih untuk menukar sebuah kerajaan korup, rasuah dan tidak cekap, supaya mereka ditadbir kerajaan berwibawa, berintegriti serta efisien,” katanya menerusi perutusan sempena sambutan Tahun Baru 2019.

Amirudin berkata, rakyat tertanya-tanya sama ada negara akan bertambah baik atau melalui saat sukar selepas perubahan kerajaan baharu, pada 9 Mei tahun lalu.

Dalam pada itu, bagi merancakkan ekonomi Selangor, pihaknya mengenal pasti potensi di sembilan daerah melalui Agenda Klusterisasi atau Gugusan Ekonomi sebagai mencetuskan kesan limpahan kepada rakyat di setiap pelusuk di negeri itu.

Katanya, menerusi dasar itu beliau yakin banyak peluang pekerjaan dan pelaburan domestik yang boleh ditarik sekali gus memastikan aliran pendapatan baharu buat Kerajaan Negeri.

“Aspirasi murni ini adalah suatu tanggungjawab moral besar dan kewajipan untuk dilunaskan.

“Pimpinan Pakatan terutama di Selangor tidak punya waktu untuk dibazirkan kerana kami harus bekerja kuat demi rakyat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast