nazari

KUALA LUMPUR – Harga minyak mentah yang terus jatuh menyebabkan sentimen pasaran saham Asia lemah pada hari pertama dagangan tahun ini.

Harga minyak masih susut berpunca pengeluaran bekalan minyak berlebihan dari Amerika Syarikat meskipun OPEC menyatakan komitmen untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.2 juta tong sehari pada tahun ini.

Disebabkan itu, para pelabur terpaksa berhati-hati untuk memasuki pasaran.

Ditambah pula kebimbangan berterusan pelabur-pelabur dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka perlahan pada tahun 2019, dipacu oleh penyusutan aktiviti perkilangan di China.

Malah, diramalkan berlaku penguncupan ekonomi dunia pada tahun ini terutama bagi negara-negara yang bergantung kepada aktiviti eksport terutamanya di Asia.

Sentimen-sentimen ini mempengaruhi kejatuhan pasaran di seluruh Asia.

Penasihat Penganalisa Teknikal Malaysia, Nazarry Rosli kesannya di Malaysia menyaksikan Indeks FBM KCLI jatuh sebanyak 1.33 peratus pada penutup hari pertama urus niaga tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 27 kaunter-kaunter komponen FBMKLCI jatuh didahului oleh Sime Darby Plantation yang merosot sebanyak 21 sen kepada RM4.55. Axiata juga jatuh sebanyak 16 sen kepada RM3.77.

Nazarry berkata, indeks FBM KLCI dijangka menguji paras sokongan semasa di sekitar 1,650 mata.

“Sebarang kejatuhan yang berterusan akan diikuti dengan sokongan yang kuat pada paras psikologi sekitar 1,600 mata,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menambah, pelabur jangka panjang akan membeli saham-saham yang mempunyai asas fundamental yang kukuh.

Berbeza dengan pelabur-pelabur jangka pendek yang akan mencari peluang-peluang membeli ketika harga-harga saham syarikat jatuh secara mendadak.

“Apa yang boleh dikatakan prestasi pasaran saham untuk tahun 2019 dijangka tidak menentu dengan faktor-faktor luaran yang membabitkan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat dan Beijing dan ketidakstabilan politik dan konflik di rantau Timur Tengah,” katanya. – MalaysiaGazette