KUALA LUMPUR – QSR Brands (M) Holdings Berhad (QSR Brands), pemilik rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut dipercayai menangguhkan sekali lagi penyenaraiannya di Bursa Malaysia.

Difahamkan QSR merancang untuk menyenaraikan syarikat itu pada 28 Januari ini.

Ia bagi mengambil peluang trend kenaikan pasaran saham menjelang Tahun Baru Cina.

Namun, difahamkan tarikh itu ditangguhkan sekali lagi.

QSR pernah dilaporkan untuk menyenaraikan syarikat itu pada November tahun lalu namun turun naik pasaran kurang memberangsangkan menyebabkan rancangan tersebut ditangguhkan.

Mengikut draf prospektus, QSR Brands menawarkan sejumlah 1.465 bilion saham untuk tawaran awam permulaan (IPO) termasuk terbitan awam sebanyak 70 juta saham baru

Hasil daripada IPO akan digunakan untuk peluasan perniagaan KFC dan Pizza Hut di seluruh negara.

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporations, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dilaporkan berkata, QSR merancang untuk meraih sebanyak RM2 bilion daripada IPO itu.

Penyenaraian itu dianggarkan membawa nilai pasaran sebanyak RM6 bilion.

QSR dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 31 Januari 2013 bagi menjenamakan semula syarikat itu. – MalaysiaGazette