KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (Faedah Penuh) bagi menggantikan Bantuan Interim Sistem Insurans Pekerjaan mulai semalam.

Sebelum ini, Bantuan Interim diberikan kepada pekerja yang hilang pekerjaan dengan kadar tetap iaitu RM600 bagi tempoh maksimum 3 bulan dalam tempoh mencari pekerjaan.

Perkeso berkata, dari 1 Januari 2018 sehingga 28 Disember 2018, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah menerima permohonan bantuan interim daripada 23,185 pekerja yang hilang pekerjaan.

Sehingga kini, sebanyak RM16.88 juta faedah interim telah diberi oleh Perkeso kepada pekerja yang disahkan kehilangan pekerjaan dan layak menerima bantuan interim.

Bermula 1 Disember lalu, pekerja yang hilang pekerjaan dan telah cukup mencarum sebanyak minimum 11 bulan caruman, layak menuntut faedah penuh SIP seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB).

Berbanding dengan Bantuan Interim yang hanya menawarkan bantuan kewangan pada kadar tetap, faedah penuh SIP menyediakan lebih banyak manfaat kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Antara faedah-faedah penuh SIP yang disediakan adalah:

● Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) – Elaun kewangan bagi mereka yang kehilangansumber pendapatan tunggal dan dalam proses carian pekerjaan.

● Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) – Elaun kewangan bagi mereka yang mempunyai beberapa pekerjaan dan telah kehilangan sekurang-kurangnya satu, tetapi tidak semua pekerjaan.

● Fi/Yuran Latihan (FL) – Untuk pekerja mengikuti latihan kemahiran dengan pengesyoran Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO. Yuran latihan akan dibayar terus kepada syarikat yang menyediakan latihan (service provider) bagi pemohon yang terpilih mengikuti kemudahan latihan vokasional tidak melebihi tempoh 6 bulan dengan kos maksimum latihan iaitu RM4,000.00.

● Elaun Latihan (EL) – Satu insentif kewangan yang dibayar kepada peserta yang menghadiri latihan bagi menggalakkan mereka menghadiri semua sesi latihan

● Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) – Insentif kewangan yang dibayar kepada penerima faedah EMP yang berjaya kembali bekerja awal.

● Program penempatan pekerjaan semula – Perkhidmatan pekerjaan melalui bantuan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan yang membantu carian pekerjaan, khidmat kaunseling, temuduga, latihan dan sokongan pekerjaan berterusan.

Perkeso juga telah mewujudkan portal EIS bagi memudahkan Orang Berinsurans Perkeso membuat tuntutan faedah SIP.

Pencarum SIP yang hilang pekerjaan dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan adalah layak menerima bayaran faedah penuh SIP. – MalaysiaGazette