Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas tamat tahanan reman berhubung kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2018.
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas tamat tahanan reman berhubung kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini memberi tempoh sebulan kepada pihak pendakwaan bagi melengkapkan semua dokumen berkaitan kes bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hasanah Abdul Hamid yang menghadapi tuduhan pecah amanah wang untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

Hakim Rozina Ayob berkata ini kerana sebelum ini kes itu telah ditetapkan untuk sebutan dan sepatutnya hari ini semua dokumen sudah lengkap.

“Sebelum ini sudah ada sebutan, tetapi pihak pendakwaan masih belum serah semua dokumen. Sepatutnya semua dokumen siap hari ini,” katanya dan menetapkan 21 Feb untuk pihak pendakwaan melengkapkan semua dokumen tersebut.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan semua dokumen berhubung kes itu.

“Pihak pendakwaan hari ini telah menyerahkan tiga lagi dokumen kepada pembelaan, namun masih ada beberapa dokumen lagi yang belum diserahkan,” kata Muhamad Iskandar semasa sebutan semula kes itu dan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Hasanah, 61, mengesahkan menerima dokumen tersebut.

Antara dokumen yang diserahkan kepada pembelaan hari ini ialah salinan DVD rakaman kamera litar tertutup (CCTV) aras 13 Shaftsbury Residence, Cyberjaya, salinan hardisk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Pejabat Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya dan salinan slide.

Sebelum ini, pada 29 Nov tahun lepas pihak pendakwaan telah menyerahkan 46 dokumen antaranya ialah surat pelantikan Hasanah sebagai ketua pengarah penyelidikan, senarai sitaan, invois, gambar barang kes, rakaman percakapan serta gambar lokasi di bahagian penyelidikan.

Muhamad Iskandar turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi semalam dan Rozina juga menetapkan tarikh sama (21 Feb) untuk mengetahui status pemindahan kes tersebut.

Mohd Khairul Azam turut memohon kepada mahkamah supaya akaun anak guamnya tidak dibekukan supaya tertuduh dapat meneruskan kehidupan hariannya, bagaimanapun, Rozina berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan sebaliknya menyarankan supaya kedua-dua pihak berbincang berhubung perkara tersebut.

“Mahkamah tidak boleh buat keputusan (akaun tersebut) tetapi pihak pembelaan boleh berbincang dengan pihak pendakwaan termasuk pegawai penyiasat berkaitan perkara itu,” kata hakim.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah USD12.1 juta milik kerajaan Malaysia, di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA