Azhari Shaari
Azhari Shaari

SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) perlu mengakui Barisan Nasional (BN) telah melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, dasar mengumumkan harga mingguan petrol bermula Isnin lalu adalah teknik peniruan kerajaan PH daripada kaedah yang dilaksanakan BN.

“Cuma bezanya BN mengumumkan harga minyak petrol RON97 dan RON95 pada hari Rabu, manakala PH pula pada hari Jumaat.

“Sebenarnya kita tidak mahu memulangkan paku buah keras kepada PH kerana kebanyakan dasar BN seperti pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mengekalkan tol dan pelaksanaan AES telah diteruskan oleh kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Justeru, kata Azhari, satu-satunya alasan untuk rakyat terus menyokong PH adalah kerana tuduhan melibatkan 1MDB terhadap BN yang kini semakin kurang diperkatakan rakyat kerana banyak lompong dalam pertuduhan kes tersebut.

Katanya, kes yang sedang berjalan tidak dipastikan halatujunya dan biarkan masa menentukan.

“Rakyat hari ini sedar mereka sudah tersalah pilih kerajaan sama ada negeri mahupun Persekutuan. Sesungguhnya mentadbir dengan mentaksir makna sesuatu dasar adalah dua perkara berbeza.

“Pendekatan emosi rakyat menganggap BN gagal mentadbir dan menyebabkan negara bankrap akhirnya terjawab apabila kerajaan PH sendiri terpaksa menjual aset negara demi kononnya menyelesaikan hutang hampir RM1 trilion.

“Pengalaman yang ada pada pemimpin BN serta hubungan diplomatik yang diwujudkan dengan negara China, Rusia dan Amerika Syarikat sepatutnya membuka mata rakyat untuk memilih kerajaan yang menjana Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia sehingga lebih RM400 bilion,” katanya.

Kini ujar beliau, rizab tersebut semakin menyusut dan ia tidak baik dari sudut ekonomi.

Jelasnya, BN telah melakukan yang terbaik untuk negara ini, namun segalanya dirosakkan sekelip mata atas persepsi dan fitnah PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast