Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tengah) bersama Timbalannya, Fuziah Salleh (hadapan, dua kiri) hadir pada Majlis Amanat Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2019.

PUTRAJAYA – Kertas polisi agensi agama di negara ini yang akan digubal sebelum menjadi hala tuju dan polisi pentadbiran Islam Malaysia dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung Februari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, polis baharu apabila dijadikan dasar kerajaan nanti perlu dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya kena duduk dengan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan agensi lain bagi membantu menyiapkan format kertas polisi itu macam mana.

“Walaupun secara isinya atau semangatnya kita sudah buat sejak 2018, cuma kita nak jadikan ia sebagai kertas polisi.

“Bila jadi kertas polisi duduk bawah persetujuan Kabinet, ia akan rasmi sebagai satu dasar negara yang mana kita akan tumpu untuk menjayakannya di peringkat negara.

“Saya menjangkakan bulan dua siap sebab tak susah sangat sebab kita sudah buat kerja cuma nak olah balik dalam kertas polisi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bercakap kepada media selepas Majlis Amanat Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2019.

Mujahid juga berkata, beliau tidak menolak mana-mana visi dan misi pasti wujudnya cabaran lebih-lebih untuk mengubah gerak kerja agensi-agensi agama di negara ini.

“Sudah tentu dalam proses itu kami dan Jakim akan bantu supaya segala proses ke arah itu dapat dicapai, ia akan mencabar dan saya kira mereka lebih jelas hala tuju yang telah ditetapkan oleh pihak kami di atas.

“Saranan kepada setiap agensi, balik jangan bersenang-lenang dan tidur, pastikan balik misi dan visi tercapai, kita ada lima tahun untuk capai perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette