Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor bercakap kepada media pada Himpunan Bantah Eric Liew di Menara 1 Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Selangor memberikan tempoh 24 jam kepada syarikat Cisco system untuk memberikan respon secara rasmi terhadap seorang pekerjanya, Eric Liew, yang mengeluarkan komen biadap terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V baru-baru ini.

Gesaan terhadap perkara itu dibuat oleh Pemuda UMNO Selangor apabila mahu syarikat berkenaan memberikan kenyataan rasmi dan bukannya memaklumkan di laman sosial seperti Facebook.

Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata, langkah itu perlu lakukan oleh Cisco Malaysia seperti yang pernah dibuat syarikat Honda Malaysia apabila memberikan kenyataan rasmi memberhentikan seorang pekerjanya apabila mengeluarkan komen hingga mengundang kemarahan netizen dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, bulan lalu.

“Kita harap Cisco boleh mencontohi Honda Malaysia, cukup responsif, cukup cepat dan tegas kerana ini bukan melibatkan perkara main-main.

“Ini kerana kita mahu mereka menghormati institusi raja-raja, memelihara kesejahteraan dan menghormati Rukun Negara,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada pihak Cisco Malaysia di sini hari ini.

Amin berkata, tindakan seterusnya akan diambil oleh Pemuda UMNO Selangor sekiranya Cisco Malaysia gagal untuk berbuat demikian.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Selangor itu bukannya kerana hendak menunjukkan budaya samseng sebaliknya mahu supaya semua lapisan rakyat di negara ini menghormati antara satu sama lain khususnya sistem beraja yang diamalkan di Malaysia.

Terdahulu, Amin yang hadir bersama 20 orang Pemuda UMNO Selangor menyerahkan memorandum kepada Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Albert Chai mendesak supaya syarikat itu mengambil tindakan tegas terhadap Eric ekoran tindakan melampaunya menghina Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Dalam pada itu Amin berkata, Pemuda UMNO menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan tegas terhadap Eric berdasarkan beberapa laporan polis yang dibuat berhubung perkara itu.

Katanya, beliau tidak mahu laporan yang dibuat hanya dijadikan sekadar tempelan dan tindakan harus diambil agar ia menjadi pengajaran kepada warga negara yang lain.

Amin turut mendakwa, sikap ditunjukkan oleh Eric itu adalah disebabkan kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mendidik perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, apa yang berlaku mungkin akan berulang lagi sekiranya tidak ada sikap responsif diambil oleh majikan terhadap pekerja mereka yang biadap.

“Kita harap perkara ini menjadi satu tauladan agar ia tidak berulang lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette