KUALA LUMPUR – Kemasukan ramai bekas pemain kebangsaan Malaysia ke skuad Singa Utara telah menarik kembali penyokong ke stadium dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Jelas sekali aura Safee Sali, Badri Razi, Khyril Muhymeen dan juga Amirizdwan Taj masih wujud biarpun mereka semakin di mamah usia.

Namun sebagai menghargai penyokong setia, Perlis mengumumkan pengeluaran Kad Keahlian Perlis Northern Lions pada musim baharu Liga Malaysia.

Menerusi kenyataan di laman Twitter rasmi Perlis Nothern Lion, pengeluaran kad sebanyak 3,000 keping itu sudah mula dijual sejak semalam melalui aplikasi Stubapp dengan harga kad RM50 beserta RM10 bagi kos penghantaran.

Antara kelebihan yang akan diperoleh pemegang kad tersebut ialah mendapat potongan harga untuk membeli tiket perlawanan tumpuan, diberikan diskaun bagi produk dan perkhidmatan penaja-penaja Perlis Northern Lions serta mendapat diskaun bagi barangan rasmi Perlis Northern Lions.

Apa yang menariknya, bagi pemegang kad tersebut juga ialah secara automatik akan mendapat insurans kemalangan peribadi.

Selepas membuat pendaftaran, kad ini akan mengambil masa selama tiga minggu untuk diproses dan selepas itu anda akan dapat menggunakan semua kelebihan yang ada. – MalaysiaGazette