Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa harga berlumba-lumba naik selepas kerajaan Pakatan Harapan memerintah kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tarif elektrik untuk rumah dan perniagaan sudah naik pada Julai lalu dan kenaikan lagi untuk perniagaan dan industri pada Mac ini.

Harga gas paip untuk perniagaan dan industri juga sudah naik pada Julai lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Malah, kerajaan Pakatan Harapan juga sudah memberi amaran kenaikan tarif elektrik sekali lagi pada Julai ini untuk kediaman dan perniagaan.

Najib berkata, sebelum menang pilihan raya, Pakatan Harapan mendakwa semua kenaikan tidak patut berlaku.

“Air ialah hak asasi rakyat. Patut free!” ajuk Najib dengan kata-kata Pakatan Harapan di atas pentas ceramah.

Tetapi lepas menang, berlumba-lumba semua naik.

Ahli Parlimen Pekan itu mengulas kenyataan tentang kenaikan tarif air secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Kenaikan tarif sumber asli terbabit perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, kenaikan itu tidak akan membebankan pengguna.

Tidak cukup dengan itu, rakyat ditibai dengan senyap-senyap dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada bulan September yang banyak kelemahan, sekali gus memberi laluan kepada tauke-tauke yang melarikan diri daripada cukai dan menaikkan harga barang.

“Naik tak apa. Asalkan jangan nampak cukai dalam resit macam GST. Mereka suka pada yang disembunyikan,” sindir Najib.

Tambah Najib, selepas harga barang naik, Menteri akan membuat kajian mencari punca kenaikan.

“Kalau Menteri PH masih tidak jelas lagi apa sebab harga barang naik mendadak selepas PRU14, buatlah lagi sebanyak kajian yang mereka mahu jika masih tidak faham.

“PH menang, rakyat senang kerana sebarang kenaikan harga pun bukan lagi beban kepada rakyat,” katanya penuh sinis. – MalaysiaGazette