Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menerangkan graf semasa sidang media Gerakan Cadang Cara Penyelesaian Mengatasi Isu Minyak Kelapa Sawit bertempat di Ibu Pejabat PGRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 09 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya menggunakan langkah lebih pro-aktif dan bukan hanya menjalankan kempen sahaja di dalam menangani kejatuhan harga komoditi sawit dan larangan oleh beberapa negara seperti Norway dan Perancis.

Menurut Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau, antara langkah yang boleh diambil adalah mewajibkan penggunaan biodiesel B10 yang diperbuat daripada minyak sawit kepada semua kenderaan milik kerajaan.

“Jangan hanya buat kempen dan mensasarkan untuk tingkatkan kesedaran sahaja.

“Kerajaan perlu ada pelan yang boleh memberi kesan yang lebih besar daripada kempen kesedaran sahaja iaitu dengan menggunakan B10 sebagai bahan api untuk semua kenderaan kerajaan.

“Ini akan menjadi contoh kepada rakyat dan membantu meningkatkan permintaan sawit sekali gus menaikkan harga komoditi tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Dominic, selain itu kerajaan juga perlu mengadakan pakatan dengan negara-negara pengeluar sawit yang lain seperti Indonesia dan Thailand kerana Malaysia tidak mempunyai kuasa yang besar untuk berunding dengan negara-negara Eropah yang lain apatah lagi untuk memboikot negara berkenaan.

Jelasnya, jumlah pelaburan Eropah ke Malaysia adalah jauh lebih tinggi daripada pelaburan Malaysia ke Eropah.

“Jika kita boikot barangan mereka atau mengancam mereka, mereka boleh mengeluarkan pelaburan daripada Malaysia.

“Kita boleh mati,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Gerakan juga meminta kerajaan supaya memberi fokus kepada pasaran-pasaran lain selain China iaitu Pakistan dan Belanda.

Menurut Dominic, pada tahun 2017 Pakistan mengimport 6.2 peratus minyak sawit manakala Belanda 5.9 peratus minyak sawit daripada pasaran dunia.

Jika kedua-dua pasaran tersebut digabungkan, jumlahnya melebihi import China yang berjumlah 10.3 peratus.

Katanya lagi, kejatuhan nilai ringgit pada masa ini memberi faedah yang besar kepada pengeksport tempatan.

Semalam, Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menulis surat kepada Presiden Perancis dan Perdana Menteri Norway untuk membantah keputusan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) yang melarang penggunaan minyak sawit.

Harga minyak sawit bagi penghantaran Mac didagangkan pada harga RM2,186 se tan semasa dagangan pagi tadi.-MalaysiaGazette