Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa melawat ruang latihan atlit paralimpik pada Program Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Inisiatif “Tambah Emas” iaitu program mengumpul dana awam bagi persiapan atlet paralimpik ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, yang diusahakan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) membuktikan bahawa badan itu memahami situasi semasa kerajaan yang berdepan sumber terhad.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap pihak korporat dan masyarakat umum akan menyumbang bagi menyokong usaha MPM menambah lebih banyak pingat emas dalam acara sukan itu.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MPM atas segala usaha yang telah dibuat bagi mempromosi pergerakan sukan para di negara kita yang tercinta.

“Pihak kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menyediakan pelbagai sumber mengikut kemampuan untuk sentiasa menyokong pergerakan sukan para di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Wheel Walk Fun Run sempena Sambutan Hari OKU (Orang Kurang Upaya) peringkat Kebangsaan 2018 serta pelancaran program Tambah Emas di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, penaung MPM Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Program Tambah Emas yang menyasarkan kutipan RM5 juta sehingga tahun 2020 membolehkan anggota masyarakat untuk menyumbang menerusi platform e-dompet di aplikasi Boost atau dalam laman web MPM.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kejayaan Malaysia memperoleh tiga pingat emas buat pertama kalinya dalam Sukan Paralimpik Rio 2016 juga adalah testimoni kepada pelbagai usaha yang dijalankan agensi-agensi terlibat.

Sukan memberi peluang kepada golongan OKU untuk berani berusaha dan mencuba, bersemangat tinggi, bersosial dan menyerlahkan keyakinan serta keupayaan diri.

“Saya juga sangat bersyukur kerana golongan OKU telah bangkit dengan gigih dan jaya, untuk menghadapi pelbagai halangan dan rintangan, demi mencapai kecemerlangan dalam sukan sama ada dalam negara mahupun luar negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menjalankan beberapa program untuk OKU termasuk pelaksanaan dua kajian yang menumpukan kepada peluang pekerjaan serta sistem sokongan bagi penjaga kepada OKU.

Selain itu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terbitan 2011, beliau berkata secara purata 15 peratus daripada populasi sesebuah negara terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai jenis ketidakupayaan.

Katanya, sehingga 31 Okt 2018, seramai 488,948 OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang merangkumi 1.5 peratus daripada jumlah penduduk negara. – BERNAMA