Osman Sapian ketika mengadakan lawatan di atas kapal MV Pedoman pada 9 Januari lalu. foto FB Osman Sapian

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor perlu mengemukakan segera bukti yang menunjukkan beliau tidak melepasi sempadan perairan Singapura jika berpendapat dirinya telah difitnah dan dianiaya oleh Singapura.

Dalam pada itu, jika benar dakwaan bahawa Wisma Putra tidak memberi ‘restu’ terhadap lawatan Datuk Osman Sapian itu maka beliau perlu segera membuat penjelasan secara diplomatik.

“Jika benar Menteri Besar Johor berjiwa besar dan mengakui kesilapan, adalah lebih elok beliau mengemukakan permohonan maaf demi keharmonian rakyat dan kestabilan khususnya negeri Johor.

“Langkah itu bagi memastikan hubungan kedua-dua negara tidak terjejas,” kata Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang Integriti dan Antarabangsa Dewan Muda Johor, Onn Mahathir Md Nasir.

Osman didakwa Singapura menceroboh kawasan perairan milik Republik itu Rabu lalu.

Susulan kejadian itu, Singapura menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Iskandar Malaysia (JMCIM).

Namun, dakwaan itu dinafikan oleh Osman yang memaklumkan beliau tidak menceroboh kawasan perairan Singapura, sebaliknya mahu melihat anggota Jabatan Laut menjalankan tugas.

Beliau berkata, lawatan untuk melihat anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di atas kapal MV Pedoman, di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura itu bukan bertujuan melakukan provokasi.

Malah, katanya, lawatannya diketahui oleh Wisma Putra.

Onn berkata, Dewan Muda Johor khuatir, selain daripada isyarat Singapura menangguhkan Mesyuarat ke-14 JMCIM kerana dakwaan Menteri Besar Johor menceroboh perairan Singapura, ia juga boleh memberi kesan jangka panjang terhadap 400,00 rakyat Malaysia yang berurusan atau mencari rezeki di Singapura setiap hari.

Jelasnya, tiada faedah memanjangkan polemik yang tidak memberi manfaat, sebaliknya menumpukan usaha memajukan negeri, menjaga kebajikan rakyat, memberi fokus menunaikan manifesto dan menjaga kehormatan negeri adalah
salah satu cara untuk dikenang sebagai hero rakyat.

Beliau menambah, rakyat Johor akan tetap memberi sokongan jika Osman berada di pihak yang benar, tetapi tidak akan sesekali mempertahankan beliau jika memang benar ia datang dari kesilapan dan kecuaian beliau sendiri. – MalaysiaGazette