Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.
Kementerian Pendidikan Malaysia

PUTRAJAYA – Persatuan Jaringan Ibubapa Pencinta Pendidikan Bahasa Zhong Hua (Jia Zong) menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas berhubung dakwaan penyelewengan dana di beberapa Sekoleh Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Pengerusi Jia Zong Ronnie Wong mendakwa penyelewengan dana di SJKC sudah lama berlaku dan difahamkan antara RM500,000 hingga RM1 juta hilang daripada akaun bank sekolah dan juga akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Perkara ini sangat serius kerana ia adalah public fund,” katanya ketika ditemui di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Menurutnya, Jia Zong telah membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pendidikan serta menyerahkan dokumen sebagai bukti namun tiada tindakan diambil setakat ini.

Sementara itu, Penasihat Jia Zong Edward Neoh mendakwa lebih 100 SJKC di negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Johor masih mengutip yuran sebanyak RM50 sebulan bagi mengadakan kelas komputer ketika waktu persekolahan.

Beliau berkata perkara ini tidak harus berlaku kerana pada tahun lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah mengarahkan agar membatalkan pelaksanaan kelas komputer dalam jadual waktu persekolahan di SJKC.

“Kami berharap pihak kementerian menyiasat perkara ini… adakah ini sekolah tidak mematuhi peraturan atau kerajaan membuat pusingan ‘U”, katanya.

— BERNAMA