Abu Bakar Ba'asyir. foto Agensi

JAKARTA – Indonesia sedang mengkaji keputusan untuk membebaskan Abu Bakar Ba’asyir, yang didakwa dalang insiden pengeboman di Bali pada tahun 2002 selepas campur tangan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.

Menteri Keselamatan berkata, Presiden Joko Widodo telah memintanya untuk mengkaji semula semua aspek rancangan pembebasan ulama itu.

Ia berlaku beberapa jam selepas Morrison meminta Indonesia berbuat demikian.

Pengeboman kelab malam itu membunuh lebih daripada 200 orang, kebanyakan adalah warga negara Australia.

Abu Bakar, 80, merupakan pemimpin Jemaah Islamiah, kumpulan yang diharamkan dan dipertanggungjawabkan dalam serangan maut itu.

Minggu lalu, Joko Widodo mengumumkan untuk membebaskan Abu Bakar atas sebab-sebab kesihatan.

Namun, Menteri Keselamatan Indonesia, Wiranto memberitahu, keputusan itu sedang dikaji semula selepas Joko Widodo “memerintahkan pegawai berkaitan segera melakukan penilaian yang lebih teliti dan komprehensif”.

Abu Bakar telah dihukum penjara selama 15 tahun pada 2011 selepas didapati bersalah menyokong militan di Aceh.

Morrison berkata, sebelum ini beliau dan pegawai lain telah berhubung secara langsung dengan rakan-rakan mereka di Indonesia mengenai pembebasan yang akan berlaku.

“Ramai warga Australia mati dalam insiden pada malam itu dan saya fikir rakyat Australia mahu perkara itu ditangani secara serius oleh kerajaan kita,” katanya.

“Juga kerajaan Indonesia sepatutnya menghormati Australia dengan cara mereka menguruskan isu ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette