KUALA LUMPUR – Hampir sedekad menyepi tanpa karya terbaharu, kumpulan Ruffedge kembali mewarnai arena muzik tempatan dengan single terbaru berjudul ‘Seperti Mereka’ baru-baru ini.

Kini mereka tampil dengan video muzik lagu yang sama.

Pada zaman kegemilangan mereka, kumpulan yang dianggotai oleh Cat Farish, Azan, Zain, Mode, Sein dan Amir itu pernah popular menerusi lagu-lagu seperti Tipah Tertipu, Bila Rindu, Goyang, Khayalan, Da’ Bomb, Lemas dan banyak lagi.

Kumpulan yang mendukung genre R&B dan hip hop sejak awal kemunculan mereka pada tahun 1998 ini, tetap mengekalkan genre muzik yang sama dalam ‘Seperti Mereka’.

Lagu yang mengangkat tema cinta itu diberikan sentuhan muzik R&B soul seperti lagu hit mereka terdahulu ‘Bila Rindu’, kata kenyataan Warner Music Malaysia baru-baru ini.

Single pertama Ruffedge selepas 10 tahun ini merupakan hasil ciptaan penuh anggota kumpulan itu sendiri iaitu Azan Addin.

Video muzik rasmi ‘Seperti Mereka’ arahan Zalhilman Ismail ini sangat istimewa kerana ianya menayangkan bait-bait kenangan para pengantin yang telah melangsungkan perkahwinan sebelum ini.

Ruffedge telah mengumpulkan video-video perkahwinan dan pertunangan dengan cara mengadakan pertandingan di sosial media pada tahun lepas dan secara eksklusifnya ditayangkan di dalam video muzik rasmi ini.

Video muzik rasmi ‘Seperti Mereka’ boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 22 Januari lalu.- MalaysiaGazette