Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Abu Bakar Yahya bercakap kepada media pada Majlis Silaturahim Warga Sabah dan Penyerahan Borang Keahlian Bersatu di Wakaf Al-Quran, Country Homes, Rawang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2019

RAWANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menerima rakyat Sabah sebagai ahli cuma menerima rakyatnya yang mengundi di Semenanjung.

Demikian menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya mengenai penubuhan Persatuan Kinabalu Bersatu yang giat menerima ahli khususnya rakyat Sabah.

Malah katanya, parti itu tidak mengkhianati Parti Warisan Sabah memandangkan persetujuan bahawa parti itu tidak akan memasuki negeri tersebut.

“Mereka yang berdaftar di sini sahaja yang kita terima. Walaupun mereka mendaftar sebagai ahli Bersatu di Semenanjung, kalau sampai Pilihan Raya, mereka pulang ke Sabah, mereka akan tetap sokong Parti Warisan dan PH.

“Di sana tidak ada Bersatu, jadi kita kena hormat Parti Warisan dan ada hubungan. Juga ada persetujuan yang baik tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui media dalam Program Jalinan Silaturahim Warga Sabah di Wakaf Al Quran, Contry Homes, Rawang hari ini.

Sebelum ini, Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Bersatu tidak akan melebarkan sayapnya ke Sabah.

Ini kerana PH mempunyai hubungan dengan Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) berjaya merampas Sabah daripada tangan UMNO di bawah Barisan Nasional (BN).

“Sesiapa juga mahu sertai Bersatu dan layak, kita tidak boleh halang. Kita pilih mereka yang duduk di sini dan merupakan rakyat Sabah,” ujar Abu Bakar lagi.

Dalam pada itu sejumlah 500 borang keahlian parti Bersatu diserahkan hari ini daripada rakyat Sabah yang bermastautin di Selangor bagi menyertai parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu hari ini. -MalaysiaGazette