Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Usaha untuk mengurangkan kos pembinaan pihak pemaju perlu diambil bagi memastikan harga rumah dapat dikurangkan ke paras yang lebih mampu milik.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, menangani isu rumah mampu milik adalah tanggungjawab bersama agar jurang yang berterusan di antara harga rumah dan kemampuan memiliki rumah dapat dikurangkan.

“Isu pemilikan rumah mampu milik memerlukan penyelesaian secara holistik dengan pembabitan semua pihak terlibat agar dapat diselesaikan dengan jangka masa lebih singkat.

“Pihak pemaju perumahan dan pihak berkuasa tempatan juga perlu bersedia untuk bersama-sama merealisasikan agenda ini,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Dana Rumah Mampu Milik, dan Portal Rumahku di sini hari ini.

Pemusatan inisiatif rumah mampu milik melalui satu entiti dan pewujudan pangkalan data perumahan bersepadu juga perlu disegerakan.

Jelas beliau, pangkalan data bersepadu ini penting dalam menangani isu rumah yang ditawarkan oleh pihak pemaju yang tidak sepadan dengan tahap kemampuan rakyat setempat.

Selain daripada itu, dasar ekonomi yang akan menggalakkan pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan rakyat juga penting dalam mempertingkatkan sosioekonomi dan kedudukan kewangan mereka untuk memiliki rumah.

Menurut beliau, Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion akan membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah di seluruh negara membiayai pembelian rumah pertama mereka.

Dana ini dijangka mempertingkatkan kemampuan segmen sasar untuk memiliki rumah pertama dengan kadar pembiayaan yang rendah iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan insentif ini dianggarkan dapat menyumbang kepada ansuran bulanan yang lebih rendah sebanyak 23 peratus berbanding skim pembiayaan sedia ada.

Dana ini ditawarkan selama dua tahun mulai 2 Januari 2019 melalui lima institusi kewangan yang menyertai skim ini.

Bagaimanapun, Nor Shamsiah menambah, dana dengan kadar pembiayaan yang rendah ini harus dilihat sebagai satu kemudahan sementara, untuk suatu tempoh yang terhad dan dilaksanakan secara berhemat.

Bagi memastikan pembiayaan rumah terus mampan, kadar pembiayaan rumah perlu mencerminkan kos risiko yang sebenar dihadapi oleh institusi kewangan dengan mengambilkira kos dana, kos pentadbiran, dan risiko kecairan dan kredit pinjaman.

“Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan terus komited untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang transformatif bagi membolehkan segenap lapisan masyarakat dapat menabung, melabur dan meminjam secara produktif dan mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Manakala, pembeli pula perlu mempunyai simpanan yang secukupnya dan keupayaan untuk membayar pinjaman mereka sepanjang tempoh pinjaman untuk memastikan pemilikan rumah.

Bakal pembeli rumah juga disarankan mengambil langkah praktikal dalam memberi keutamaan ke atas komitmen utama perbelanjaan sara hidup agar penambahan hutang melalui pembiayaan rumah tidak semakin membebankan kedudukan kewangan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette