CYBERJAYA- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang meneroka sebarang peraturan yang berhubung pemasangan kotak Android TV.

Pengerusinya, Ishsal Ishak berkata, penjualan dan pemilikan kotak beserta perkhidmatannya membolehkan para pelanggan mengakses kandungan cetak rompak yang haram di Malaysia.

“Ada dua (elemen) untuk melihat kepada peraturan-peraturan tersebut.

“SKMM akan melihat kepada aspek teknikal kotak berkenaan yang mana mereka memerlukan kelulusan SIRIM.

“Dari segi kandungan pula, sekiranya terdapat elemen kecurian hak cipta, ia jatuh di bawah Akta Hak Cipta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ishsal, perkara tersebut turut melibatkan kementerian-kementerian lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menurut Ketua Sektor Kawalan dan Penguatkuasaan Rangkaian SKMM, Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, terdapat kotak-kotak penyiaran tersebut yang dianggap haram kerana tidak memenuhi kelayakan teknikal.

“Walau apa pun, cetak rompak adalah isu besar.

“Kami akan mengadakan bengkel pada bulan depan mendapat penyelesaian khusus.

“Ini termasuk meneroka penggunaan peraturan atau bekerja dengan pengilang untuk menghalang perbuatan memuat turun kandungan-kandungan tertentu,” jelasnya.

Awal bulan ini, Kementerian Perundangan Singapura mencadangkan pengharaman penjualan kotak penyiaran yang mana perkhidmatannya membenarkan pelanggan mengakses kandungan cetak rompak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast