Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia pada 2018 kekal berdaya tahan, meningkat 5.9 peratus kepada RM1.876 trilion daripada RM1.771 trilion pada 2017, didorong pertumbuhan eksport yang lebih kukuh berbanding jangkaan sepanjang tempoh itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, walaupun mengalami ketidaktentuan dalam persekitaran global namun eksport berkembang 6.7 peratus, tahun ke tahun, untuk mencecah RM998.01 bilion manakala import meningkat 4.9 peratus kepada RM877.74 bilion.

“Lebihan dagangan Malaysia pula melonjak 22.1 peratus kepada RM120.27 bilion, merekodkan kadar paling ketara dalam tempoh 10 tahun dan lebihan dagangan terbesar sejak 2012. Ini merupakan tahun ke-21 berturut-turut bagi lebihan dagangan sejak 1998,” katanya semasa membentangkan prestasi perdagangan Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, ASEAN, yang kekal sebagai rakan dagang strategik dan penting bagi Malaysia, menyumbang 27.1 peratus atau bernilai RM509.2 bilion kepada jumlah dagangan Malaysia pada 2018.

Eksport ke ASEAN berkembang lima peratus kepada RM285.3 bilion, dengan penyumbang utama kepada peningkatan itu adalah produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum mentah, barangan perkilangan logam, kimia dan produk kimia.

Pada 2018, Darell berkata dagangan Malaysia dengan China menokok 8.1 peratus kepada RM313.81 bilion dengan eksport meningkat 10.3 peratus kepada RM138.88 bilion.

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) berjumlah RM183.37 bilion, kenaikan 4.8 peratus daripada angka yang dicatatkan pada 2017. Eksport Malaysia ke EU meningkat 3.5 peratus kepada RM98.6 bilion.

Selain itu perdagangan dengan Amerika Syarikat, merekodkan pertumbuhan 1.1 peratus kepada RM155.88 bilion, dengan eksport meningkat 2.3 peratus kepada RM90.73 bilion, nilai tertinggi sejak 2008.

“Peningkatan itu didorong terutamanya barangan perkilangan yang meningkat 3.1 peratus kepada RM87.4 bilion dan menyumbang 96.3 peratus kepada keseluruhan eksport Malaysia ke negara itu,” katanya.

Perdagangan Malaysia dengan Jepun pula berjumlah RM132.57 bilion, susut 4.8 peratus, berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) 8.6 peratus dan produk E&E.

Produk E&E merupakan bahagian terbesar eksport Malaysia pada 2018, menyumbang 38.2 peratus dengan eksport produk E&E meningkat 11 peratus bagi tempoh itu.

Eksport barangan perlombongan naik 7.1 peratus kepada RM87.62 bilion dan bahagian sektor ini menyumbang 8.8 peratus kepada eksport keseluruhan pada 2018.

“Eksport petroleum mentah melonjak 29.4 peratus kepada RM36.57 billon dipacu oleh Nilai Unit Purata (AUV) dan jumlah yang lebih tinggi. Bagaimanapun, eksport LNG turun 3.1 peratus kepada RM40.14 bilion,” katanya.

Sementara itu, eksport barangan pertanian kurang 14.2 peratus kepada RM67.01 bilion, menyumbang 6.7 peratus kepada jumlah eksport keseluruhan pada 2018.

Eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit susut 17.3 peratus kepada RM44.7 bilion, berikutan terutamanya penurunan eksport minyak sawit susulan AUV lebih rendah seiring dengan harga global yang lemah walaupun jumlah eksport lebih tinggi. – MalaysiaGazette