Pengarah Urusan TNB ILSAS, Dato’ Ir. Abdul Aziz Jaafar (dua, kiri) menerima sijil TNB ILSAS diiktiraf Institute of Leadership & Management (ILM) UK Approved Centre di Malaysia sebagai pusat latihan untuk kursus-kursus berkaitan kepimpinan dan pengurusan oleh International Director of Business Development & Sales (ILM-UK), Becky James pada majlis pelancaran yang telah disempurnakan pada 9 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – TNB Integrated Learning Solution (ILSAS), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) diiktiraf Institute of Leadership & Management (ILM) UK Approved Centre di Malaysia sebagai pusat latihan untuk kursus-kursus berkaitan kepimpinan dan pengurusan.

Pengiktirafan tersebut meningkatkan nilai tambah dan status agensi latihan TNB itu di persada antarabangsa kerana pada 2017 ILSAS telah pun menerima pentauliahan daripada satu lagi badan antarabangsa, City & Guilds bagi program latihan teknikal.

Pengiktirafan daripada kedua-dua badan luar negara itu membuktikan kualiti produk ILSAS kini mencapai taraf antarabangsa dan berkelas dunia.

Ia juga mengukuhkan ILSAS sebagai institusi latihan yang dapat melahirkan pekerja yang berkemahiran dan berinovasi untuk keperluan modal insan negara.

Pelancaran ILSAS sebagai pusat latihan ILM-UK di Malaysia telah disempurnakan pada 9 Januari lalu dengan ILM diwakili Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Jualan,  Becky James manakala ILSAS oleh Pengarah Urusannya, Datuk  Ir. Abdul Aziz Jaafar.

Sempena pelancaran itu juga, 26 peserta menjadi kumpulan pertama untuk menerima sijil penyertaan program “Understanding The Leader In You” yang diiktiraf ILM UK.

Dalam pembangunan modal insan, ILSAS melatih secara puratanya lebih 50 ribu peserta setahun di pusat latihan induknya di Bangi, Selangor dan cawangannya di Malim Nawar, Perak, dan Kulai, Johor. Setiap tahun juga, kira-kira 50 pelatih dari luar negara mendapat latihan di ILSAS.

Sejak 1978 lagi, ILSAS telah membangunkan tenaga mahir di bawah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan menawarkan pelbagai kursus teknikal termasuk Program Kekompetenan Penjaga Elektrik (Chargemen), Program Jurutera Elektrik Kompeten (Competent Engineer) dan Program Kekompetenan Pencantum (Cabel Jointers). – MalaysiaGazette