KUALA LUMPUR – Khabar gembira buat penggemar berita dalam bahasa Tamil.
Kini mereka dapat menikmati siaran tersebut 24 sehari yang juga merupakan pertama kali dalam sejarah Malaysia hari ini.
Siaran berita Tamil 24 jam itu yang dikenali sebagai ‘Desam News’ akan mula ke udara melalui saluran Tamil Kooflix sebuah sesawang TV dalam talian bermula bulan ini.
Pengasas Desam News, Gunalan Manium berkata, beliau mendapat inspirasi kerana ketika ini memandangkan permintaan terhadap berita atas talian sangat tinggi berbanding penerbitan seperti sebelum ini.
“Sebenarnya saya sangat teruja apatah lagi Desam News akan menjadi saluran pertama yang boleh dinikmati selama 24 jam sehari seandainya penonton sudah mempunyai Kooflix selepas ini.
“Saya sudah mempunyai pengalaman dalam dunia media sejak 28 tahun lalu. Sebelum ini, saya telah asaskan penerbitan akhbar Desam sebelum mula ceburi dunia atas talian dengan Desam Online, kini lebih baik apabila kita perbesarkan skop dengan ‘Desam News’.
“Sudah tentu kerjasama Desam dengan Kooflix akan membawa lebih banyak manfaat terutamanya masyarakat India di negara ini.
“Buat masa ini Malaysia tidak mempunyai saluran khas untuk berita Tamil 24 jam, untuk merealisasikan impian ini Kooflix sedia melayarkan ‘Desam News’,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Kooflix dimililki Koocan turut mempunyai lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan muncul dengan 50 saluran Tamil, berita, muzik dan radio khas untuk penggemar India di negara ini.
Malah Kooflix akan membawa rancangan-rancangan daripada Tamil Nadu, Eropah, Kanada, Sri Lanka.
Jelas Gunalan, selain daripada perkhidmatan dekoder kepada pelanggan isi rumah ia juga boleh dilayari menggunakan telefon pintar melalui aplikasi Kooflix pada masa sama.
“Dekoder ini diberi dengan kabel HDMI dan alat kawalan jauh. Kita hanya perlu memasang decoder ini dengan televisyen menikmati rancangan yang ditayangkan.
“Dengan yuran tahunan sebanyak RM399 setahun, para pelanggan kini dapat menikmati 50 saluran Tamil yang popular khasya di India tanpa sebarang gangguan termasuk menonton berita terbaik, terkini serta eksklusif,” ujarnya. –MalaysiaGazette

















