KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai-Pegawai Polis Kanan Bersara Malaysia (Respa) mahu hukuman mati dikekalkan.

Presidennya Tan Sri Ismail Che Rus berkata, tidak ada jenayah yang tidak boleh dihukum walau apa pun bentuk hukumannya.

“Kami menyokong pendirian keluarga mangsa yang dibunuh agar hukuman mati itu dikekalkan, juga menyokong pandangan orang ramai bahawa hukuman mati harus dikhaskan untuk jenayah berat supaya keadilan benar-benar dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk meminda dan memansuhkan sejumlah 117 undang-undang hukuman bagi kesalahan serius, pemansuhan lapan undang-undang dengan 32 kesalahan yang melibatkan 12 hukuman mati mandatori, dan pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Respa berpendapat, mereka yang sedang menunggu hukuman mati boleh menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas pelaksanaan penilaian wajar dan berhati-hati terhadap hukuman, dengan mengambil kira pesalah sudah benar-benar bertaubat.

Namun, katanya, bagi kes-kes pengedaran dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 misalnya, hukuman mandatori diwajibkan kerana ia adalah kes berat.

“Terdapat juga kes-kes lain di bawah akta tersebut, yang mana tertuduh dihantar untuk pemulihan. Kami menyokong prinsip bahawa penghukuman kesalahan harus lebih memihak kepada pemulihan,” tambah Ismail.

Berhubung pemansuhan Akta Hasutan, beliau meminta kerajaan meminda dan memperbaiki akta tersebut.

“Kami mencadangkan agar pindaah akta dibuat dengan jelas dan tepat dan perkataan” kecenderungan menghasut “dalam Seksyen 3 (1) ditakrifkan secara spesifik dan jelas supaya akta ini boleh dikuatkuasakan secara adil untuk menjaga keharmonian kaum dan kestabilan negara yang pelbagai kaum. – MalaysiaGazette