Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama Pengerusi Tasputra Perkim, Elahe Norman (kiri) menunjukkan kemahiran memukul gendang pada Majlis Pelancaran Tasputra Perkim di Lingkungan U-Thant, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ‘mempertahankan’ tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan menyifatkan ianya sekadar untuk membantu memberi sokongan kepada produk tempatan.

Malah kata Wan Azizah, beliau sendiri seringkali membawa hasil kraftangan buatan tempatan ketika membuat lawatan ke luar negara sekaligus mempromosi nama negara di peringkat antarabangsa.

Tetapi pada masa yang sama, kata Wan Azizah, mana-mana pihak perlu prihatin ketika melakukan promosi sesuatu barangan itu dan membezakan antara produk kementerian dan juga swasta.

“Saya rasa Syed Saddiq juga telah berikan penjelasan beliau bagi pihak dirinya. Pada saya, tidak salah untuk promosi produk kerana ianya satu bentuk sokongan kepada barangan kita.

“Kita bantu usahawan, Syed Sadiq berniat untuk tolong. Tapi pada masa yang sama, kita perlu tengok juga adakah produk itu produk kementerian atau swasta.

“Saya sendiri ke luar negara selalu sahaja bawa barangan kraf, buat promosi secara menyeluruh lagi barangan yang dihasilkan oleh kita. Kita boleh promosi apa sahaja produk tetapi bukan produk swasta sebaliknya oleh kementerian,” katanya.

Beliau mengulas pertanyaan media berhubung kewajaran untuk seseorang bertaraf Menteri untuk mempromosi sebarang produk bagi tujuan promosi sesuatu barangan.

Terbaru, Syed Saddiq  melahirkan rasa kecewa dengan tuduhan seorang usahawan yang mendakwa telah ‘ditipu’ kementeriannya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata niatnya hanyalah untuk membantu produk usahawan tempatan agar dapat memasuki rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven, namun sebaliknya beliau pula dicaci.

Sebelum ini, pemilik jenama Hausboom, Azri Zahier Azmi melalui akaun Facebooknya mendakwa KBS menjanjikan promosi produk termasuk di Instagram Syed Saddiq, namun tidak ditunaikan. –MalaysiaGazette

Syed Saddiq kencing usahawan muda?

Pemuda UMNO sedia promosi minuman Hausboom