Transkrip keputusan peperiksaan Datuk Marzuki Yahya yang menamatkan pengajian jarak jauh dari Cambridge International Unversity.

KUALA LUMPUR – Setelah dikecam hebat oleh warganet tentang dakwaan kesahihan sijil akademik, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya hari ini tampil menunjukkan transkrip ijazah beliau.

Transkrip yang ditunjukkan itu dikeluarkan atas nama beliau oleh Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) bagi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dalam pengkhususan Pengurusan Logistik.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendedahkan transkrip berkenaan selepas isu kelayakan ijazahnya dipertikaikan sebelum ini.

Ini kerana, Marzuki mendakwa beliau memperoleh ijazah berkenaan daripada Universiti of Cambridge di England.

“Saya langsung tidak pernah berniat untuk menggambarkan seolah-olah saya mendapat pendidikan di University of Cambridge,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan media berkenan, Marzuki turut menyertakan dua salinan transkrip ijazah yang diperolehi beliau di Amerika Syarikat.

Transkrip Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan bernombor CIU403435MA itu dikeluarkan pada 16 Mei 2005.

Beliau mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif atau “GPA” 3.3 bagi sembilan mata pelajaran.

Menurut beliau, sewaktu memulakan kursus pada sekitar tahun 2002, masyarakat Malaysia dan juga masyarakat dunia masih belum membincangkan tentang akreditasi universiti secara meluas.

Bahkan katanya, pada ketika itu masih belum ada sistem ranking universiti yang terkenal dan tersusun seperti pada hari ini.

“Pada masa itu juga masih belum ada senarai universiti yang dikatakan sebagai “bogus university”.

“Oleh itu, apabila mengetahui mengenai kursus ditawarkan oleh CIU yang berkaitan dengan bidang perniagaan yang saya ceburi, saya mendaftarkan diri tanpa memberikan penekanan kepada aspek akreditasi kursus yang ditawarkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette